KUALA LUMPUR – Polis menemui sejumlah dadah jenis heroin yang disembunyikan dalam sebuah kontena di Desa Melawati, di sini, malam tadi.
Bertindak atas maklumat yang diterima dari Pakistan, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman melakukan pemeriksaan mengejut ke atas tiga kontena yang diletakkan di hadapan kawasan rumah kedai di Jalan 3/4 C, Wangsa Melawati, pada jam 8 malam tadi.
Dalam pemeriksaan awal dilakukan selama hampir empat jam, polis hanya menemui jerami padi di ketiga-tiga kontena terbabit yang dipercayai untuk makanan kuda.
Bagaimanapun sekitar jam 11.30 malam, dadah yang disembunyi di sebalik jerami padi itu ditemui di salah satu kontena berkenaan.
Sehingga jam 1 pagi tadi, sumber Bukit Aman mengesahkan penemuan dadah jenis heroin, namun nilainya masih belum dapat dianggarkan.
Difahamkan, polis turut menjalankan siasatan ke atas beberapa individu dipercayai pekerja warga Pakistan dan dua rakyat tempatan yang mempunyai kaitan dengan urusan kontena serta premis perniagaan di kawasan berkenaan.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952, bagi membolehkan pihak polis mengenalpasti dalang sebenar aktiviti pengedaran dadah dipercayai dibawa dari Pakistan ini. – BHarian Online
https://youtu.be/GpmNDAjtgGk