KUALA LUMPUR – Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) menawarkan pemeriksaan kenderaan secara percuma kepada pemilik kenderaan persendirian di seluruh negara bermula 6 Julai hingga 15 Julai ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mohammed Shukor Ismail berkata, tawaran itu bersempena perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
“Puspakom bersedia menawarkan 5,000 pemeriksaan kenderaan persendirian ecara percuma kepada pemilik kenderaan persendirian di seluruh negara dalam tempoh 10 hari ini.
“Keadaan kenderaan yang tidak selamat merupakan salah satu punca kemalangan dan kami berharap agar lebih ramai pemilik kenderaan persendirian merebut peluang ini bagi memastikan kenderaan mereka selamat dipandu ketika balik ke kampung untuk meraikan perayaan bersama ahli keluarga mereka,†katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohammed Shukor berkata, Puspakom turut berharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan memastikan keselamatan kenderaan bagi mengurangkan kemalangan di atas jalan raya melalui program tersebut.
Jelasnya, pemeriksaan kenderaan prsendirian secara percuma itu merangkumi 25 peringkat pemeriksaan iaitu Ujian Pengeluaran Asap, Gelincir Sisi, Bahagian Atas & Bawah Kenderaan, Brek, Ketelusan Cermin, Keadaan Tayar dan Rim, Keadaan Ekzos dan sebagainya.
Kata beliau, orang ramai boleh membuat temujanji dengan menelefon cawangan-cawangan Puspakom berdekatan terlebih dahulu untuk mendapatkan waktu pemeriksaan yang sesuai.
“Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-6927 atau layari laman web www.puspakom.com.my untuk mendapatkan senarai cawangan Puspakom di seluruh negara,” katanya. – MYNEWSHUB.CC