Saturday, January 25, 2025

Creating liberating content

Eizlan Yusof Tuntut PDRM...

KUALA LUMPUR - Penerbit dan pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof menuntut Polis Diraja...

Batu Puteh: Singapura Jawab...

PUTRAJAYA - Singapura dijangka memberi jawapan kepada permohonan Malaysia untuk menyemak semula keputusan...

Neymar Pulang Ke Brazil...

NEYMAR bakal menjalani pembedahan minggu ini, jelas Paris Saint-Germain. "Keputusan telah dibuat bersama kedua-dua...

Letupan Di Gurun: 3...

GURUN - Tiga beranak maut manakala seorang lagi anggota keluarga itu cedera parah...

Rasai Sendiri Jongkong Emas Seberat 50kg Di Muzium Emas

GEORGETOWN – Emas dianggap sebagai logam yang paling berharga sejak berzaman-zaman lagi kerana ia melambangkan kedudukan, kedaulatan dan kekayaan kesihatan.

Tanggapan emas sebagai simbol ketulenan, bernilai tinggi, pengukur pergerakan mata wang dan dapat mengelak daripada kesan buruk inflasi sejak dahulu lagi, masih wujud dan tidak lenyap ditelan zaman moden.

Justeru, semakin ramai yang meminati emas bukan sahaja untuk perhiasan diri malah sebagai pelaburan, tetapi pernahkah anda melihat atau menyentuh jongkong emas tulen dengan tangan sendiri?

Kini, peluang itu diberikan kepada orang ramai yang ingin merasai sendiri aura jongkong emas di muzium emas Public Gold, lebih-lebih ia seberat 50 kilogram dengan nilai RM7.5 juta.

Selain emas, pengunjung juga boleh memegang jongkong perak seberat 30 kilogram yang bernilai lebih RM70,000 di dalam muzium seluas 7,000 kaki persegi itu.

Pengunjung turut diberikan maklumat, perbandingan dan gambaran jelas mengenai nilai emas dan mata wang, di mana satu jongkong emas seberat 12.5 kilogram bersamaan dengan RM400,000 pada 2001 tetapi kini nilainya mencecah RM1.8 juta.

Terletak di Lebuh Bishop, muzium sedemikian bukan sahaja yang pertama di Malaysia tetapi di Asia Tenggara kerana ia bukan sekadar muzium biasa, tetapi membawa pengunjung kembali ke lombong emas seperti pada zaman silam.

Menurut pengurus muzium Denise Tang, kira-kira sejam diambil untuk menerokai muzium itu dengan reka bentuknya seperti laluan di bawah tanah, ditambah pula dengan kesan bunyi menggali pada abad dahulu bagi melahirkan suasana unik dan nostalgia buat pengunjung.

“Dimulakan dengan maklumat dan sejarah emas, pengunjung juga diberikan peluang merasai sendiri proses mendulang dan sesiapa sahaja yang mendapat ketulan emas ketika proses itu dianggap bernasib baik.

“Selain itu, proses melebur perak turut ditunjukkan kepada pengunjung serta pameran koleksi yang diperbuat daripada emas berusia lebih 60 tahun serta produk emas daripada Public Gold,” katanya kepada Bernama.


Tang berkata pelbagai jenis peralatan dan acuan untuk menghasilkan produk berasaskan emas seperti duit syiling sempena ulang tahun, loket dan barang kemas turut dipamerkan serta produk kecantikan berasaskan emas yang kian mendapat sambutan.

Katanya muzium emas yang dibuka Mei lepas itu bertujuan untuk berkongsi dengan orang ramai mengenai nilai dan sejarah emas serta meningkatkan ilmu mereka supaya tidak tertipu dengan emas tiruan.

“Sejak dibuka Mei lepas, muzium ini menerima lebih 3,000 pengunjung khususnya daripada rombongan sekolah malah berjaya menarik minat pelancong tempatan dan luar negara antaranya dari negara Arab, Australia dan Indonesia,” katanya.

Selain itu, Tang berkata pembukaan muzium itu adalah untuk memenuhi ruang atas pejabat Public Gold yang kosong sejak dua tahun lepas sekaligus dapat meningkatkan industri pelancong yang kian berkembang pesat di negeri ini.

Menurutnya, kebanyakan pengunjung teruja kerana reka bentuk muzium yang bukan sahaja unik dan menarik malah mereka diberikan ruang untuk mendapat maklumat serta berseronok ketika perjalanan dalam laluan lombong emas.

Dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang termasuk cuti umum, pengunjung dikenakan bayaran dengan harga promosi RM28 (dewasa) dan RM15 (kanak-kanak dan warga emas) manakala bagi kanak-kanak tujuh tahun ke bawah masuk adalah percuma.

– BERNAMA

  • Lagi berita berkaitan:
  • emas

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori