KUALA LUMPUR – Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menghadiri Ceramah Perdana Bakti bertajuk ‘Ramadan Bulan Keampunan dan Ramadan Bulan Turunnya Al-Quran’ di Bangunan Bakti Siti Hasmah, di sini.
Ceramah anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) itu disampaikan oleh penceramah agama Ustaz Dr Mohd Farid Ravi Abdullah. Rosmah adalah Yang Dipertua Bakti.
Ustaz Farid Ravi dalam ceramahnya selama dua jam itu antara lain menerangkan bahawa bulan Ramadan merupakan bulan penghapus dosa serta menjadikan umat Islam berada dalam keadaan suci dan bersih.
Beliau menggesa umat Islam agar tidak hanya menumpukan ibadah pada bulan Ramadan tetapi menjadikannya sebagai amalan harian pada bulan-bulan lain.
Turut hadir pada majlis ceramah itu isteri Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Yang Dipertua Bakti Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Yang Dipertua Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) Puan Sri Datuk Rohani Abdullah, dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Puan Sri Datuk Imran Ibrahim. – BERNAMA