KUALA LUMPUR – Sebahagian Rumah Transit 1Malaysia (RT1M) di Pinggiran Bukit Jalil di sini masih kosong kerana Jabatan Perumahan Negara (JPN) masih menapis permohonan sama ada pemohon layak atau sebaliknya untuk menduduki RT1M.
Ketua Pengarah JPN Datuk Mohamad Yusoff Ghazali menjelaskan RT1M bukan mendapat kurang sambutan tetapi JPN perlu mengambil masa untuk memastikan pemohon memenuhi kriteria ditetapkan.
“Kriteria itu adalah pemohon dan pasangan mesti warganegara Malaysia, berumur 30 tahun dan ke bawah, tidak memiliki rumah sendiri di Kuala Lumpur, bekerja di Lembah Klang, pendapatan isi rumah RM3,000 dan ke bawah dan tiada rekod jenayah.
“Lain-lain syarat yang ditetapkan ialah pemohon tidak boleh menyewakan rumah transit berkenaan dan menuntut sebarang kos sama ada untuk pindah masuk dan keluar dari rumah transit tersebut,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar semalam bahawa RT1M yang setiap unit mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air di Pinggiran Bukit Jalil kelihatan sunyi kerana sebahagian blok L dan M masih kosong.
Mohamad Yusoff berkata JPN sehingga kini telah menyerahkan sebanyak 240 kunci rumah kepada pemohon yang berjaya dan pihaknya menyasarkan kesemua unit rumah di blok L dan M akan dipenuhi menjelang akhir tahun ini.
“Ada banyak faktor yang menyebabkan pemohon membatalkan hasrat mereka untuk menduduki RT1M, antaranya mereka telah memiliki rumah yang sesuai, lokasi yang jauh dari tempat kerja ataupun mereka tidak bersetuju dengan tempoh penyewaan selama dua tahun yang ditetapkan.
“Pemohon harus sedar bahawa RT1M adalah penyewaan rumah secara tempoh dua tahun sahaja, tujuannya untuk memberi peluang pasangan yang baru mendirikan rumahtangga menetap di sana, tempoh yang diberikan adalah sesuai kerana dalam masa tersebut penyewa boleh mencari rumah untuk diduduki secara tetap,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Wan Mohammad Ghazali Nor berkata DBKL telah menyerahkan (Blok L dan M) RT1M di Pinggiran Bukit Jalil kepada JPN pada tahun lepas bagi menjayakan projek perintis kerajaan dalam menyediakan rumah sementara untuk pasangan muda yang baru berkahwin.
Katanya blok L dan M pada asalnya adalah PPR DBKL dan menurutnya ada perbezaan antara RT1M dan PPR DBKL dari segi kadar sewa iaitu kadar sewa PPR DBKL RM124 sebulan manakala RT1M RM250 sebulan. – BERNAMA