SELAIN baju raya, biskut raya dan juadah raya yang sinonim dikaitkan dengan sambutan lebaran, pelbagai rekaan unik dan kreatif sampul duit raya turut sama memainkan peranannya dalam menyerikan sambutan lebaran pada setiap tahun.
Kebanyakan kita memperolehi sampul raya dari pusat membeli-belah, pusat institusi kewangan selain ada juga yang menempah khas sendiri sampul raya yang tertulis nama si pengirim.
Tak kisahlah berapa jumlah not yang anda masukkan dalam sampul raya, yang penting niat serta keikhlasan si pemberi.
Sampul duit raya pelbagai warna serta rekaan memberikan pilihan mengikut citarasa masing-masing.
Untuk yang lebih menggemari rekaan tradisional, imej ketupat, pelita dan masjid pastinya tidak dapat lari daripada tema sedemikian.
Mencerminkan imej yang sinonim dengan sambutan lebaran kebiasannya warna hijau dipilih sebagai tema warna bagi kertas sampul yang memberikan keceriaan lebih-lebih lagi buat kanak-kanak yang berkunjung ke rumah.
Hijau dikatakan sebagai simbolik kepada perayaan Aidilfitri sementara warna merah pula lebih kepada perayaan Tahun Baru Cina yang disebut Ang Pow yang mana dipercayai merupakan permulaan kepada tradisi pemberian duit raya di kalangan masyarakat Melayu.
Pelakon Nora Danish tidak terkecuali memilih sendiri rekaan sampul duit raya pada tahun ini yang mana tercatat namanya, ditempah khas dari pengusaha percetakan sampul raya.
Memang nampak unik dan menarik rekaan yang dipilih Nora dan teman lelaki, Nedim Nazri Aziz yang memilih konsep minimalis dalam menata rias sampul raya mereka.
Konsep tempahan sampul raya ini boleh dibuat bagi mereka yang ingin menampakkan kelainan selain boleh direka mengikut kemahuan dan citarasa sendiri.
Selain itu, rekaan yang berlatar belakangkan watak kartun dan imej kelakar turut menjadi pilihan sesetengah pihak malah termasuk juga syarikat korporat yang mahu mencipta kelainan dalam sampul raya yang dititipkan.
Menerusi Mudah.my, anda boleh sahaja melayari beberapa pengusaha yang menawarkan pekhidmatan sedemikian bagi kemudahan anda.
Sebut sahaja rekaan bagaimana yang anda perlukan, pasti sedaya upaya ditunaikan oleh mereka.
Kalau dah cantik sampul raya yang dihasilkan, tentunya si cilik tidak akan membuang sampul raya sebaik menyemak jumlah not yang disertakan dalam bekas sampul.
Malah mungkin mereka jadikan sampul-sampul itu sebagai koleksi tahunan seperti mana hobi mengumpul setem yang cukup popular pada suatu ketika dahulu.
Jom semak rekaan-rekaan yang mungkin anda boleh jadikan rujukan untuk tahun hadapan sekiranya tidak sempat menempah untuk lebaran tahun ini.
Selamat Hari Raya Aidilfitri 1436 Hijrah! – MYNEWSHUB.CC
Oleh:  JULIANA JOHARÂÂÂ