PENGALAMAN menjalani penggambaran drama bersiri Mencari Mubarakh di Xinjiang, China, mungkin menjadi pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan oleh pelakon Sari Yanti apabila ditahan pihak polis di sana, tahun lalu.
Difahamkan, Sari Yanti dan kru produksi ditahan ketika sedang menjalani penggambaran di tanah perkuburan dan didakwa menceroboh kawasan tersebut sehinggakan mereka dibawa menaiki trak polis.
“Semua yang terbabit adalah kru produksi lelaki dan hanya saya seorang wanita. Saya juga sudah menyuruh adik saya yang berada bersama bersiap sedia menghubungi kedutaan sekiranya berlaku apa-apa.
“Bagaimanapun, mujur ini hanya salah faham dan keadaan kembali normal selepas mereka mendengar penjelasan kami,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Sari Yanti, mereka dibebaskan selepas pengurus lokasi, Dr Rozmizah Chomil menunjukkan surat kebenaran daripada badan pelancongan Xinjiang serta tujuan melakukan penggambaran di situ.
Dugaan tidak terhenti setakat itu, Sari Yanti mendedahkan dia dan Shah Jaszle terpaksa dimasukkan ke hospital kerana deman panas akibat keletihan menempuh perjalanan jauh dengan kereta api di Urumqi.
“Faktor cuaca panas mencecah 45 darjah Celsius juga menimbulkan suasana kurang selesa. Ia kawasan padang pasir yang berdebu dan suhu pada waktu malam pula sangat sejuk.
“Bagaimanapun, ia memberi pengalaman baru buat saya kerana dapat menyelami budaya serta melihat cara hidup masyarakat di sana. Kami tak berdepan masalah mendapatkan makanan halal kerana ramai masyarakat Muslim tinggal di situ,” ujarnya.
– MYNEWSHUB.CC
Oleh: CARRIE
Sumber: Harian Metro