KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini semakin aktif melaksanakan program Klik Dengan Bijak (KDB) bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna internet supaya menjadi pengguna yang bijak dan bertanggungjawab.
Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan dan Perancangan Jangkauan, SKMM Nurhalili Nadia Mustapha Kamal berkata, program yang diperkenalkan pada 2012 kini berada pada fasa kedua memfokuskan kepada isu penyebaran maklumat palsu menggunakan media sosial.
Katanya, SKMM akan terus berusaha memberi pendedahan dan pendidikan kepada pengguna internet supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih yang didapati di laman sosial.
“Kita (SKMM) akan tekankan kepada masyarakat supaya mendapatkan pengesahan tentang sesuatu maklumat sebelum berkongsi di laman sosial atau melalui perkhidmatan Whatsapp. Maklumat tidak sahih hanya menimbulkan kerisauan orang ramai dan menjadi fitnah,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Menurut Nurhalili Nadia, KDB dianggap penting kerana golongan muda khasnya dikatakan kurang pengetahuan dalam isu penyalahgunaan internet terutama mengenai memancing data atau phishing, perisian hasad, kecurian kata laluan atau identiti, buli siber atau kesalahan jenayah internet. – BERNAMA