KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mencadangkan supaya catuan bekalan air dilaksanakan di Hulu Langat bagi mengelakkan krisis bekalan air di kawasan tersebut semasa Ramadan ini.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ismail Kasim berkata, pihaknya bagaimanapun tidak dapat meneruskan cadangan itu kerana belum mendapat kelulusan daripada kerajaan Selangor.
“SPAN telah mencadangkan supaya catuan air dilaksanakan bagi memastikan pengguna-pengguna di kawasan terkesan dan kawasan berhampiran mendapat bekalan air secara bergilir.
“Dengan cara itu, sekurang-kuranngnya pengguna akan mendapat air melalui paip selama dua hari dan tidak perlu menunggu air melalui lori tangki serta tidak perlu mengangkut air ke rumah. Namun begitu, kelulusan kerajaan Selangor perlu diperolehi sebelum SPAN dapat memberi kelulusan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada masalah gangguan bekalan air yang teruk di Hulu Langat dan Kuala Lumpur khususnya di Semenyih, Beranang, Kajang, Langat dan Balakong sejak bulan lalu.
Ismail menerangkan, gangguan bekalan air tersebut disebabkan marjin rezab air terawat yang sangat rendah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada khususnya di Hulu Langat.
Menurut beliau, loji-loji utama yang membekalkan air ke kawasan tersebut iaitu Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih dan LRA Langat sedang beroperasi melebihi beban (overloading) dengan pengeluaran melebihi 20 peratus daripada kapasiti reka bentuk.
Jelasnya, keadaan itu dimudaratkan lagi dengan kerosakan satu pam yang berlaku di LRA Langat pada hari 27 Jun lalu menyebabkan loji terpaksa mengurangkan pengeluaran sebanyak enam peratus daripada purata pengeluaran harian atau 30 Juta Liter Sehari (JLH).
“Kerosakan tersebut adalah sesuatu yang bukan di luar jangkaan memandangkan semua pam sedang beroperasi tanpa henti. Dalam masa yang sama, permintaan air meningkat disebabkan oleh cuaca panas yang melanda negara pada ketika ini.
“Walaupun kerosakan pam telah dibaiki pada hari berikutnya dan loji berjalan seperti sedia kala, namun loji tersebut tidak dapat memenuhi permintaan semasa di kawasan-kawasan bekalan,” jelasnya.
Beliau dalam pada itu memaklumkan, SPAN telah meminta kerjasama kerajaan Selangor supaya menyegerakan pembinaan LRA dan Sistem Agihan Langat 2.
Kata beliau, walaupun projek mitigasi yang sedang dilaksanakan kerajaan Selangor akan siap pada Oktober ini bagi meningkatkan pengagihan semula air dan menambah bekalan air ke kawasan gangguan, namun ia hanya bersifat sementara.
Justeru, katanya, LRA dan Sistem Agihan LRA Langat 2 perlu disiapkan segera untuk memastikan bekalan air yang berterusan bagi jangka masa panjang di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Walaupun pembinaan loji sedang berjalan, namun sehingga kini Sistem Agihan Langat 2 masih belum bermula. SPAN telah menulis surat kepada tiga pihak berkuasa tempatan yang masih belum memberikan kelulusan.
“Tanpa kelulusan daripada pihak-pihak berkuasa tersebut, kerja-kerja pembinaan sistem agihan Langat 2 tidak akan dapat dimulakan dan hasrat untuk membekalkan air daripada LRA Langat 2 tidak akan tercapai,” katanya. – MYNEWSHUB.CC