SYAWAL menjelma lagi..
Hari kemenangan yang dinantikan oleh seluruh umat Islam selepas sepurnama berpuasa pastinya akan diraikan dengan penuh kegembiraan.
Pelbagai juadah yang menarik pastinya akan dihidangkan bagi melengkapi suasana Syawal terutamanya lemang yang sangat sinonim sebagai satu hidangan wajib tatkala aidilfitiri.
Rasanya yang enak dan berlemak sentiasa menjadi pilihan utaman untuk dijamah oleh setiap orang.
Bagi warga Kuala Lumpur, Lemang Pak Ali merupakan sebuah legenda bagi penggemar makanan tradisi ini.
Menurut pengusaha lemang itu, Md. Ramli Abdul Rasip, pengalaman menjual lemang selama 31 tahun merupakan kekuatan kepada rasa dan keenakan lemangnya.
Digelar sebagai “Lord of The Lemang” Pak Ali menegaskan tiada sebarang resepi istimewa digunakan selain menggunakan santan yang berkualiti dan cara memasak menggunakan kaedah tradisional.
Dengan menggunakan kayu getah untuk membakar lemang, ia mengambil masa selama 45 minit kerana aroma daripada kayu getah akan menghasilkan rasa yang enak dan bau yang wangi.
Gerainya akan beroperasi selama 24 jam di sepanjang minggu pertama syawal bagi memenuhi permintaan yang tinggi.
Lemang yang dijual di situ dijual dengan harga RM8 sehingga RM16 bergantung kepada saiz sebatang lemang.
Selain itu, Pak Ali turut menjual serunding, ketupat palas, ketupat nasi dan juga rendang di kedainya.
Yang lebih istimewanya, kedai ini sentiasa dibuka sepanjang tahun dan tidak pernah ditutup bagi memenuhi selera warga kota terhadap makanan tradisi ini.
Bagi mereka yang ingin merasai keenakkan lemang pak ali bolehlah singgah di kedai beliau yang terletak di Pinggir Jalan Lingkaran Tengah 11, Hulu Kelang menghala ke Gombak. – Agensi/MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=W_mMZaA_ug4