KEMELUT yang melanda antara dua tokoh besar iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terus berlarutan dengan serangan demi serangan daripada pihak Tun M terhadap pentadbiran Najib.
Lantas itu, sebagai Menteri Besar Kedah yang bekerja bersama pasukan Najib, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang merupakan anak sulung Tun M menyifatkan kedudukannya sebagai ‘tersepit’ antara pertelingkahan tersebut.
Dalam satu ucapannya yang dimuat naik dalam sebuah blog, Minaq Jinggo, beliau berkata:
“Saya tersepit antara dua tokoh besar dalam negara, satu pemimpin, satu bapa sendiri. Dalam istilah Bahasa Inggeris, ‘stuck between a rock and hard place’, maksudnya dua-dua keras, kita duduk tengah-tengah. Dalam Bahasa Melayunya, ‘bila gajah berperang kita nak lari mana.”
Jangan Mimpi Tun Mahathir Sokong Pakatan – Mukhriz Mahathir
Dalam rakaman berdurasi hampir 11 minit itu, Mukhriz, walau bagaimanapun mengakui dia mempunyai pendirian peribadi namun mengambil pendekatan mendiamkan diri demi kepentingan negara, parti dan orang Melayu.
“Saya ambil pendirian ‘duk’ senyap sahaja. Nak komen pandai-pandai, nanti ada yang terguris hati. Saya ambil pendirian untuk tidak mencelah. Secara peribadi tentunya saya ada pendirian. Tapi saya fikir apa kesan kepada parti, orang Melayu dan negara kita.”
Dalam pada itu Mukhriz mempertahankan bapanya yang dikaitkan dengan skandal pemalsuan dokumen yang dilakukan individu warga Switzerland, Xavier Andre Justo, baru-baru ini.
“Pandangan peribadi saya sendiri, tak timbul langsung Dr Mahathir terlibat dalam menyeleweng atau nak tukar fakta, emel atau sebagainya. Itu dakwaan tidak adil. Terbaru sekali, terlibat dengan Justo yang dikatakan dalang di sebalik menukar dokumen-dokumen ini, dan kononnya Tun Mahathir terlibat. Itu dakwaan tak benar. Saya harap tak panjanglah cerita itu.”
Sebelum ini Mukhriz didesak oleh sesetengah pihak untuk menyatakan sokongannya kepada kepimpinan Najib setelah Tun M bertubi-tubi menyerang Perdana Menteri dengan pelbagai dakwaan.
Namun demikian sehingga hari ini, Mukhriz dilihat terus menyepi daripada memberi sebarang jawapan konkrit walaupun ramai sudah boleh mengagak pemimpin mana yang disokongnya… – MYNEWSHUB.CC
Oleh: IZZAT MOHD ANUAR
Rakaman Audio Ucapan Mukhriz Mahathir