PUTRAJAYA – Tindakan sewajarnya terhadap pihak yang melemparkan pelbagai tuduhan hingga menjejaskan kepentingan negara akan dipertimbangkan selepas Aidilfitri, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
“Tunggulah selepas Hari Raya nanti. Buat masa ini saya tidak ada apa-apa pengumuman,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa warga Wisma Putra bersama perwakilan asing di sini malam tadi.
Mengenai sama ada tindakan akan diambil ke atas blog Sarawak Report dan The Wall Street Journal (WSJ) yang membawa banyak kesan buruk, Anifah berkata “mungkin… mungkin.”
Anifah berkata jika ia diharamkan, ia tentunya menimbulkan kemarahan masyarakat yang pasti menuduh kerajaan “mahu mengehad atau menyekat media”
“Bagaimanapun apabila ia sudah membabitkan kepentingan nasional, kami akan melakukan apa yang terbaik dan boleh diterima,” katanya.
Ditanya mengenai mesyuarat Kabinet hari ini yang membincangkan mengenai dakwaan WSJ, Anifah berkata perbincangan sedemikian adalah satu kebiasaan.
“Kabinet biasalah semua perkara kita bincang. Kita senang hati dengan penjelasan Perdana Menteri,” kata Anifah.
Jumaat lepas, WSJ menyiarkan laporan yang mendakwa hampir US$700 juta (RM2.6 bilion) dana daripada syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri.
Pada hari sama, Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan WSJ itu dan berkata ia merupakan sabotaj politik bagi menumbangkan seorang Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik.
1MDB juga menjelaskan bahawa ia tidak pernah menyalurkan dana ke dalam akaun peribadi Najib.
Satu pasukan khas membabitkan Pejabat Peguam Negara, Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ditubuhkan bagi menjalankan siasatan berkaitan kes berkenaan.
Pasukan petugas khas itu mengarahkan pembekuan enam akaun bank yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Hari ini, para pegawai pasukan petugas khas itu berkunjung ke pejabat 1MDB untuk menjalankan siasatan. – BERNAMA