IPOH – Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim hari ini berkenan melawat wad pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Ketibaan baginda disambut Pengarah HRPB Datuk Dr Raja Lope Ahmad Raja Ariffin dan Pengasas Kumpulan RSG dan Pengerusi Movie Animation Park Studios (MAPS), Ramelle Ramli.
Tuanku Zara turut berkenan menyampaikan sumbangan raya berbentuk barang permainan kepada kira-kira 40 pesakit dan meluangkan masa hampir dua jam di wad berkenaan.
Sebelum berangkat pulang, baginda bergambar kenangan bersama kakitangan hospital itu.
Bagi Siti Aishah Megat Norizan, 22, pada mulanya dia sedikit gementar setelah diberitahu oleh pihak hospital bahawa Tuanku Zara akan melawat wad yang menempatkan anaknya, Ariana Maisarah Mohamad Hidayat, 9 bulan, yang menghidap sawan demam.
“Saya berasa sedikit gementar kerana ini adalah kali pertama saya mahu berjumpa Tuanku. Bagaimanapun, selepas berjumpa dengan baginda, saya berasa amat gembira kerana dapat melihat sendiri peribadi Tuanku Zara yang memang mesra dan berperwatakan lembut,” katanya.
K. Logaletchumi, 36, yang menjaga anaknya, H. Arun Kumar, 2, kerana sakit buah pinggang sejak enam hari lepas pula terharu dan tidak menyangka dapat melihat Tuanku Zara di depan matanya sendiri.
“Saya berasa cukup gembira kerana ini adalah kali pertama saya bercakap dan bertemu dengan Tuanku Zara yang memang mesra dan suka senyum,” katanya.
Nor Saleha Mohamad Razali, 8, berkata dia gembira dapat berjumpa Raja Permaisuri Perak itu secara langsung kerana sebelum ini hanya melihat baginda di kaca televisyen.
Dia dirawat di hospital itu sejak petang semalam akibat demam panas dan dijaga neneknya, Hafizah Said, 59. – BERNAMA
Sultan Nazrin, Raja Permaisuri Perak tiba di Istana Iskandariah