SUSULAN dakwaan Wall Street Journal bahawa sejumlah wang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, PAS tampil memberi sokongan kepada beliau.
Dalam satu kenyataan semalam, Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din berkata, ia seharusnya disiasat terlebih dahulu sebelum sebarang tuduhan dibuat terhadap Najib berhubung isu tersebut.
Fitnah WSJ: TPM Sambut Baik Penafian Najib
Ujarnya lanjut, mengikut logik akal, seseorang individu tidak akan melakukan pemindahan wang milik awam ke dalam akaun peribadinya.
“Saya rasa kena siasat terlebih dahulu sama ada benar atau tidak (tuduhan). Kerana mengikut logik akal, pada saya jika seseorang itu hendak pindahkan wang ke akaun peribadi, biasanya dia tidak berbuat demikian.
“Dia akan pindahkannya ke akaun lain ataupun akaun sulit,” kata beliau seperti dilaporkan portal Astro Awani.
Haron turut berkata, Najib sering dilemparkan pelbagai tuduhan sebelum ini yang dilihat sebagai serius dan mempunyai bukti namun selepas disiasat kebanyakannya didapati tidak benar.
Selain itu, beliau berharap agar isu ini ditangkis dengan penafian beserta bukti yang kukuh kerana seandainya benar-benar berlaku maka ia tidak boleh dipandang ringan.
“Apa pun jika benar, maka malang bagi masyarakat Malaysia di kala ekonomi Malaysia di ambang keresahan, di waktu ringgit menjunam, di waktu perlu pengukuhan ekonomi negara tiba-tiba keluar cerita seperti ini.
“Ia boleh menyebabkan pelabur rasa tidak senang dan orang ramai mula kurang keyakinan kepada kepimpinan negara.
“Saya harap tidak berlaku, harap ada penafian dengan bukti mengatakan ia tidak berlaku. Kalau berlaku juga, amat malang dan tidak boleh dipandang ringan.”
Jumaat lalu, Najib menyangkal laporan dibuat Wall Street Journal bahawa dana bernilai hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) telah dipindahkan ke akaun peribadi miliknya. Menurut laporan tersebut, dana dikatakan dipindah ke sebuah akaun milik agensi kerajaan sebelum ke akaun peribadi Najib melalui beberapa deposit berasingan.
Dalam laporan Sarawak Report pula, ia mendakwa sejumlah wang bernilai RM42 juta telah dimasukkan ke akaun Najib daripada sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan, SRC International Sdn Bhd.
WSJ dan Sarawak Report mendakwa maklumat tersebut telah diperolehi dari dokumen siasatan terhadap 1MDB. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: IZZAT MOHD ANUAR
Kisah Benar Datuk Dr Haron Din Bermimpin Bertemu Nabi
https://www.youtube.com/watch?v=gHe8NTXuGzo