SUSULAN tuduhan akhbar Wall Street Journal bahawa dana 1MDB berjumlah AS$700 juta (RM2.6 bilion) telah didepositkan ke akaun milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Jamawi Jaafar membidas laporan berkenaan menerusi satu kenyataan media, hari ini.
“Saya menyifatkan pendedahan yang dilakukan Sarawak Report dan Wall Street Journal (WSJ) terhadap YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak Perdana Menteri Malaysia sebagai tuduhan liar, tidak berasas dan berniat jahat.
“Ini kerana kedua-dua media tersebut telah menyerang peribadi YAB Perdana Menteri secara membuta tuli tanpa ada bukti kukuh dengan menuduh sejumlah RM2.63 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau,” ujar Jamawi.
Tambahnya tidak cukup dengan pertuduhan dalaman yang sedang dihadapi Najib, kini terdapat anasir luar yang mempunyai agenda tertentu turut melakukan pakatan terancang bagi mencampuri isu sensitif negara ini.
Niat mereka dipercayai memarakkan api kebencian rakyat kepada kepimpinan PM apatah lagi ia turut melibatkan nama Ambank yang diketahui umum sebagai bank yang saham terbesarnya dimiliki oleh bumiputera.
Justeru, Jamawi menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bertenang, berfikir secara waras dan memberi peluang dan ruang kepada Perdana Menteri untuk bertindak dan menangkis dakwaan itu sekaligus membuktikan ianya tidak benar.
“Jangan mudah terpengaruh dengan tuduhan berat tanpa bukti yang kukuh kerana akibatnya nanti negara kita akan porak peranda disebabkan propaganda anasir luar yang mahu memecah belahkan perpaduan antara kita.
“Sekarang masanya untuk bersatu bagi mengekang sentimen kebencian yang cuba disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab ke dalam masyarakat kita dengan harapan ia akan menjadi nanah dan barah dan seterusnya menamatkan riwayat kepimpinan negara,” katanya.
Pada masa sama, beliau berharap Perdana Menteri akan bertegas dalam menangani perkara ini dan memberi pengajaran yang secukupnya kepada pemfitnah.
Jamawi turut mencadangkan agar pihak Ambank yang dikaitkan dengan pertuduhan terbaharu ini membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat.
“Saya juga menyambut baik cadangan penubuhan Pasukan Siasatan Khas yang ditubuhkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail bagi menyiasat 1MDB ini secara telus hingga ke akar umbi.
“Pasukan audit juga diharap dapat menyegerakan siasatan hasil dapat diketahui secepat mungkin bagi mengekang fitnah dan spekulasi yang lebih dahsyat seterusnya menamatkan keraguan rakyat,” tambahnya. – MYNEWSHUB.CC
Najib – Laporan Media Buat Saya Tertekan