MANTAN Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah hak Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia.
“Itu hak Perdana Menteri, kalau dia nak gugur, dia gugur-lah,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Pusat Hati Pusat Perubatan Prince Court di ibu negara, pagi Jumaat.
Diminta mengulas pengguguran Tan Sri Gani Patail sebagai Peguam Negara yang telah digantikan oleh Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Tun Mahathir berkata, “sekarang kita ada Peguam Negara yang baharu, saya rasa beliau akan menyiasat kes itu (1MDB). Sekarang kita juga ada PAC tanpa lima anggota , kita tunggulah sampai anggota baru dilantik,” katanya.
Selain itu, Tun Mahathir berpendapat pemilihan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah pilihan yang tepat iaitu dengan memberi isyarat mengangguk.
“Beliau (Ahmad Zahid) layak seperti juga yang lain,” kata Dr. Mahathir.
Pada masa yang sama, Tun Mahathir turut ditanya mengenai khabar angin yang melibatkan anaknya iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku Menteri Besar Kedah akan digugurkan dari jawatannya.
“Saya tidak tahu. Sesetengah pihak akan gembira, dan sesetengah pihak lagi sebaliknya. Yang pasti, jika seorang ahli politik ‘kehilangan kedudukannya’ tempatnya akan digantikan individu lain kerana ramai masih menunggu untuk memenuhi ‘kekosongan’ itu,” ujar veteran politik itu lagi. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Astro Awani