“TUTUP sementara Plaza Low Yat sehingga siasatan insiden pergaduhan yang berlaku pada malam Sabtu yang dikatakan berpunca akibat penipuan oleh peniaga itu selesai,” demikian saranan Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah.
Menurut Abdul Rani yang mesra dipanggil Ayahanda, isu penipuan serta paksaan kepada pembeli bukanlah perkara baru di Low Yat malah beberapa kawasan lain di sekitar ibu negara.
Menurut kenyataan beliau yang disiarkan Astro Awani, beberapa peniagaan di kawasan tersebut juga didakwa Abdul Rani dimiliki oleh kumpulan samseng.
“Bukan sahaja di Low Yat malah di Jalan Petaling dan beberapa kawasan, penjual diketahui dijaga kumpulan gangster.
“Jika ada pelanggan yang membatalkan hasrat untuk membeli, mereka akan diherdik. Ia sekali gus menimbulkan ketakutan kepada pembeli,” ujarnya.
Berhubung insiden pergaduhan yang berlaku di Low Yat, Abdul Rani berkata ia adalah pengajaran kepada masyarakat agar lebih berwaspada.
“Bagus juga ada kes sebegini, barulah semua orang buka mata. Biar masyarakat tahu ada situasi seperti ini,” katanya.
Sehubungan itu, Abdul Rani berkata MJMM akan membuat laporan polis berkenaan isu ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi esok.
“Kami akan membuat laporan polis esok. Ia merupakan isu gangster dan harus diberi perhatian sewajarnya.
“Saya mahu tekankan, paling penting mana-mana lokasi termasuk Low Yat ini harus segera ditutup jika insiden seumpama ini berlaku,” tegasnya. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: hzq