APABILA tiba musim perayaan, tidak sah kalau tidak menonton seleksi iklan raya yang ditayangkan di kaca televisyen mahupun media sosial seperti Youtube.
Ada yang syahdu, ada gembira dan tidak kurang juga yang boleh buat anda terkekeh-kekeh ketawa.
Dalam pada itu, tak sangka pula, seorang pemimpin yang bergelar Menteri mengejutkan ramai apabila muncul dalam sebuah iklan raya yang memang cool habis!
Penampilan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang berjalan-jalan di ibu kota sambil menggambarkan tradisi beraya rakyat Malaysia ini berjaya menarik perhatian ramai.
Uniknya lagi, iklan tersebut turut menghimpunkan beberapa selebriti ternama dan masyarakat Malaysia yang sudah tidak sabar-sabar ingin menyambut kedatangan Syawal.
Menerusi video 1 minit 37 saat itu, Shabery Cheek turut memberikan ucapan raya dengan gaya tersendiri kepada seluruh umat Islam di Malaysia.
Lebih mencuri tumpuan, apabila Shabery Cheek di akhir video cuba menunjukkan kemahirannya bermain ukulele.
Menurut jurucakap Kementerian Komunikasi dan Multimedia, idea pembikinan video raya ini dicetuskan Ahmad Shabery sendiri.
“Perbincangan serius diadakan bersama Unit Hiburan TV RTM untuk membikin video dengan mesej raya yang ‘cool’ dan menarik,” katanya ketika dihubungi Astro Awani.
Iklan yang menggunakan lagu Assalamualaikum nyanyian Faizal Tahir yang diubah liriknya oleh Zaira Aziz dengan kerjasama Warner Music Malaysia ini, telah pun ditayangkan di beberapa stesen televisyen. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: CARRIE