BRITAIN – Seorang wanita kini malu untuk keluar rumah selepas giginya berubah menjadi seperti `siong’ pontianak.
Wanita itu, Charlotte Bateman, 49, berkata dia enggan bertemu orang ramai selepas mengalami masalah gusi yang gagal dikesan oleh doktor giginya meskipun dia kerap mendapatkan rawatan.
“Saya amat malu. Saya tidak lagi bergaul dan meminggirkan diri.
“Saya bekerja dalam bidang membuat kek, jadi saya perlu bertemu dengan pelanggan bagi mendapatkan keyakinan mereka. Namun dalam keadaan ini, bagaimana saya dapat bertemu dengan mereka. Ia menyebabkan kerjaya saya terjejas,’’ katanya.
Susulan keadaan berkenaan, Charlotte telah mengupah peguam pada Mac 2014 untuk menyaman klinik gigi berkenaan, Smith, Holloman and Associated.
Beliau berjaya memenangi tuntutan saman itu selepas 11 bulan bertarung di mahkamah dan dianugerahkan pampasan £25,000 untuk membolehkan Charlotte membayar kos rawatan susulan.
“Saya masih ingat apabila mengunjungi doktor gigi, gusi saya akan berdarah setiap kali pemeriksaan diadakan hinggakan saya terpaksa berkumur.
“Suatu hari ketika sedang menggosok gigi, serpihan makanan terbenam ke dalam gusi saya sedangkan gusi tidak sepatutnya begitu lembut dan dari situ saya tahu ada sesuatu yang tidak kena,’’ katanya.
Charlotte akhirnya disahkan menghidap sejenis penyakit gusi pada 2011 dan ketika itu, giginya sudah menjadi seperti gigi pontianak.
Kini, Charlotte merancang untuk membetulkan semua giginya termasuk mestabilkan semula gusinya. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=F9a1SX9EkaA