KUALA LUMPUR – Sikap tidak bertanggungjawab warga asing yang bekerja di negara ini yang membanjiri ibu kota sempena cuti umum Aidilfitri mengundang kemarahan warga tempatan.
Tinjauan Bernama di sekitar Pasar Seni dan pusat membeli-belah di Suria KLCC mendapati ramai warga asing berkumpul beramai-ramai sambil membuang sampah merata-rata, terutamanya di hentian bas dan kaki lima.
Sikap ini bukanlah baharu untuk mereka kerana setiap kali mereka ke bandar, khususnya di hujung minggu, perkara yang sama juga berlaku dan pada cuti umum pula kebanjiran mereka diikuti dengan sampah sarap di merata tempat.
Selain itu, mereka juga minum minuman keras dan mabuk sambil berjalan terhoyong-hayang serta membuang botol dan tin minuman keras di merata tempat, turut membimbangkan orang awam.
Walaupun papan tanda amaran ‘Jagalah Kebersihan’, ‘Keep Clean’ dan tong sampah dilihat ada di mana-mana, namun warga asing tidak mengendahkannya, sebaliknya terus mengotorkan lorong-lorong dan kaki lima dengan meludah dan membuang sampah merata-rata.
Pengawal Keselamatan, Y.Ghandi, 34; yang bertugas di luar Pasar Seni berkata sikap warga asing yang tidak mementingkan aspek kebersihan menyebabkan beliau terpaksa meminta petugas Alam Flora dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membersihkan kawasan jagaannya.
“Sejak semalam, saya terpaksa mencari petugas untuk membersihkan kawasan jagaan saya kerana saya pernah dimarahi pelancong asing dari Singapura disebabkan tong sampah sudah penuh sampai melimpah keluar.
“Petugas Alam Flora dan DBKL kurang kerana kebanyakannya tidak bertugas semasa cuti umum,” katanya kepada Bernama.
Pelancong warga China, Austin Zhao, 26; berkata beliau tidak menyangka warga asing lebih ramai daripada warga tempatan pada cuti umum hari ini.
“Saya dengan empat lagi rakan mahu berjalan dari Masjid Jamek ke Petaling Street, namun sepanjang perjalanan ramai warga asing Bangladesh dan Myanmar berkumpul beramai-ramai menyebabkan kami sukar untuk bergerak.
Mereka juga tidak menjaga kebersihan ketika di dalam bas dengan meninggalkan botol air kosong dan sampah sarap di atas tempat duduk penumpang,” kata Zhao
dalam bahasa Mandarin.
Suri rumah, Christina Tan, 40, berkata beliau membawa tiga orang anaknya datang ke pesta buku di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini dengan menaiki tren sempena cuti umum hari ini.
“Namun anak-anak saya berasa risau kerana warga-warga asing ini berjalan secara berkumpulan dan apabila dalam tren kami rasa tidak selesa dengan tingkah laku serta aspek kebersihan mereka,” katanya.
Pemandu teksi, Mohd Shahrul Hassan, 45, berkata kesesakan lalu lintas makin teruk apabila warga asing tidak mengendahkan kenderaan di atas jalan.
“Mereka seolah-olah menganggap itu jalan mereka dan melintas sesuka hati… pemandu bas pun tidak tahan lalu membunyikan hon tanpa henti.
Dari segi kebersihan mereka juga tidak jaga…mereka mempunyai ‘mindset’ bahawa ini bukan negara mereka lalu membuang sampah merata-rata, apabila ditegur pula mereka sangat garang,” katanya.
Katanya pihak berkuasa tempatan perlu mengambil tindakan ke atas warga asing ini yang tidak menjaga aspek kebersihan dengan mengenakan denda ataupun hukuman penjara dan bukan menunggu rakyat mengadu setiap tahun. – BERNAMA
https://youtu.be/9aEbMJWoVnI