KOTA KINABALU – Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta yang dipandunya melanggar sebatang paip di Jalan Burung Kalito, dekat sini, awal hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 pagi itu, mangsa, Albert Limbang Pelang, 66, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra dalam satu kenyataan berkata, ketika kejadian mangsa yang ketika itu bersendirian dan dalam perjalanan dari arah Jalan Tuaran Bypass menghala ke Inanam.
Katanya, apabila tiba di tempat kejadian kereta mangsa gagal dikawal lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar paip di situ menyebabkan kepala mangsa terhantuk ke cermin depan keretanya dan meninggal di tempat kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA