ISTANBUL – Seorang wartawan kanan akhbar utama Turki dipecat semalam akibat kenyataan menerusi laman Twitter yang mengkritik dasar Presiden Recep Tayyip Erdogan terhadap ancaman militan Negara Islam (IS).
Pihak pengurusan akhbar Milliyet namun menjelaskan, Kadri Gursel terpaksa dipecat dengan serta-merta kerana pendiriannya itu bertentangan dengan polisi syarikat media cetak tersebut.
“Kenyataan penulis kami adalah bertentangan dengan pemahaman dan tanggungjawab mengikut etika kewartawanan kumpulan media kami,†katanya dalam satu kenyataan.
Wartawan itu melalui akaun Twitter @KadriGursel menuduh Erdogan sebagai punca utama kebangkitan IS dan menganggap sungguh memalukan apabila pemimpin dunia mengucapkan takziah kepada presiden itu atas pengeboman di Suruc, baru-baru ini.
“Memalukan apabila orang yang menjadi punca utama keganasan IS di Turki pula menerima ucapan takziah,†katanya menerusi kicauan Twitter berbahasa Turki yang dikongsi lebih 3,000 kali.
Seramai 33 orang awam terbunuh dalam serangan pengebom berani mati Isnin lalu di Suruc yang bersempadan dengan negara jiran, Syria dan ia disyaki dilakukan oleh kumpulan IS.
Turki kerap didakwa bersekongkol dengan pelampau IS kononnya untuk menggulingkan Presiden Syria Bashar al-Assad. Ankara bagaimanapun berulang kali menafikan dakwaan itu. – AFP/myMetro Online
https://www.youtube.com/watch?v=vF8acZL7IME