KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan meminta orang awam mematuhi kod etika pemakaian yang ditetapkan ke atas mereka sekiranya mahu memasuki bangunan Kementerian Pertahanan.
Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan media menegaskan, semua pihak perlu mematuhi kod etika tersebut kerana ia peraturan yang telah lama dikuatkuasakan.
Menurut kenyataan itu, kod etika pemakaian itu tidak hanya dikuatkuasakan kepada wartawan sahaja malah tertakluk kepada semua tetamu yang berurusan dengan Kementerian Pertahanan.
“Dalam menguatkuasakan etika pemakaian ini, garis panduan umum mewajibkan semua pelawat untuk berpakaian sopan (baju berkolar dan berlengan, seluar panjang dan skirt di bawah paras lutut) serta tidak mendedahkan tubuh atau menjolok mata.
“Sekiranya pelawat didapati tidak mematuhi kod etika pemakaian yang sudah ditetapkan, pelawat tidak akan dibenarkan masuk untuk berurusan,” kata kenyataan itu hari ini.
Justeru, kata kenyataan itu, seorang wartawan wanita akhbar The Star tidak dibenarkan memasuki bangunan Kementerian Pertahanan untuk membuat liputan Majlis Penyampaian Bungkusan Hari Raya kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 2 Julai 2015 kerana memakai skirt di atas paras lutut.
Jelas kenyataan itu, pakaian wartawan tersebut tidak mengikuti peraturan tatacara pemakaian yang ditetapkan dan petugas di kaunter Balai Pengawal Kementerian Pertahanan cuma menjalankan tugas seperti yang diarahkan.
“Malahan gambar tentang tatacara pemakaian pelawat ke Kementerian Pertahanan juga ada dipamerkan di Balai Pengawal tersebut,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, isu pemakaian yang ditimbulkan wartawan tersebut bukan suatu perkara baru dan peraturan tersebut telah lama dikuatkuasakan di Kementerian Pertahanan.
“Justeru, dalam melaksanakan peraturan sedia ada, Kementerian Pertahanan memohon kerjasama daripada semua pihak termasuk agensi media untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” kata kenyataan itu.
The Star hari ini melaporkan wartawanya, Tashny Sukumaran menjadi individu terbaru terlibat dengan kontroversi kod pakaian di premis kerajaan.
Dia tidak dibenarkan masuk semasa membuat liputan acara pra-Aidilfitri yang dihadiri oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana memakai skirt pendek. – MYNEWSHUB.CC