KUALA LUMPUR — Pelaksanaan pelan rasionalisasi bagi
mengurangkan kadar hutang oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjalan lancar
dan diyakini dapat mengurangkannya dalam masa empat hingga enam bulan.
Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda berkata usaha itu
dapat dilaksanakan melalui penjualan beberapa aset dan ekuiti dalam Tun Razak
Exchange (TRX), Bandar Malaysia dan Edra Global Energy.
“Saya yakin tempoh masa itu bersesuaian dengan keadaan syarikat dan juga
keadaan pasaran,” kata beliau dalam program Soal Jawab TV3 yang disiarkan
malam ini.
Beliau berkata pelabur yakin terhadap aset 1MDB yang mempunyai asas kukuh
termasuk Edra Energy yang menjana hasil kira-kira RM5 bilion setahun.
Selain itu, Arul Kanda berkata kira-kira 40 syarikat antarabangsa berminat
menjadi rakan kongsi pembangunan Bandar Malaysia.
Menurutnya cabaran utama 1MDB pada masa ini ialah untuk menstabilkan situasi
kewangan syarikat dengan menyelesaikan hutangnya.
Beliau yang kelihatan tenang semasa temu bual itu berharap syarikat dapat
menjana pendapatan dan keuntungan pada masa akan datang.
“Kita berada di landasan untuk memenuhi objektif pembangunan strategiknya,”
kata beliau.
Mengulas perkembangan lain, Arul Kanda berkata 1MDB sentiasa terbuka untuk
siasatan dan mengakui ia menjadi syarikat paling banyak disiasat di negara ini
oleh Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan siasatan-siasatan lain.
“Siasatan yang sedang dijalankan oleh pelbagai agensi akan mendedahkan
tentang semua operasi kewangan 1MDB,” katanya.
Terdahulu, Arul Kanda yang pernah berkhidmat dalam sektor kewangan di Timur
Tengah, berkata pelan rasionalisasi hutang firma pembangunan strategik itu
memberi cabaran kepada beliau sebagai profesional perbankan.
Ditanya mengenai keperluan model perniagaan seperti 1MDB di Malaysia
berikutan kewujudan Khazanah Nasional yang boleh menyebabkan pertindihan
peranan, Arul Kanda berkata: ” Pada asalnya Khazanah dan 1MDB adalah
‘complementary’ (pelengkap), maknanya menyokong satu sama lain.”
Namun kata beliau, 1MDB kini melaksanakan projek ‘greefields’ (baharu)
seperti pembangunan tanah di TRX manakala Khazanah pula berjaya menguruskan aset
kerajaan sedia ada seperti Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Bhd dan sebagainya
selain melaksanakan projek baharu seperti Iskandar Malaysia.
Khazanah adalah dana pelaburan strategik kerajaan manakala 1MDB pula
syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan.
Ia melaksanakan inisiatif dipacu pasaran bagi membantu mentransformasikan
Malaysia menjadi ekonomi pesat berkembang, berdaya saing tinggi, terangkum dan
mampan. — BERNAMA