PETALING JAYA – Dua peniaga dijatuhi hukuman penjara empat hari dan denda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana bersalah memiliki rokok seludup pada Selasa lepas.
Majistret Mohd Hezri Shaharil memerintahkan Muhtar Jamil, 49, dan Shaik Abdul Cader Sathakadullah Khan, 45, menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh mereka tangkap pada 25 Ogos lepas.
Sekiranya gagal membayar denda, beliau memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan.
Kedua-dua tertuduh membayar denda itu.
Muhtar, berasal dari Acheh, Indonesia dan memiliki status penduduk tetap negara ini, didakwa memiliki 194 paket (3,212 batang) rokok putih dan rokok keretek pelbagai jenama bernilai RM311.80 yang dilarang pengimportannya di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012 di JR Maulana Mini Market, Taman Sri Puchong, Puchong pada 2.15 petang, 25 Ogos lepas.
Shaik Abdul Cader pula didakwa memiliki 165 paket (3,244 batang) rokok putih dan rokok keretek pelbagai jenama bernilai RM180.60 di Kedai Serbanika An-Nisa, Bandar Kinrara, Puchong pada 1 petang, 25 Ogos lepas.
Pendakwaan dikendalikan oleh Peguasa Kastam Mohamad Syafiq Abdul Aziz manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA