KUALA TERENGGANU – Terdapat kira-kira 3,000 jawatan kosong yang ditawarkan pada Karnival Jom Bina Kerjaya 2015 di sini yang bakal diadakan pada 5 Sept ini.
Karnival anjuran Jabatan Tenaga Kerja Negeri itu akan berlangsung di Stadium Negeri dari pukul 9 pagi hingga 9.30 malam.
Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Negeri, Mohd Azhar Ahmad berkata tawaran pekerjaan melibatkan 40 majikan.
“Antara majikan terlibat ialah Texas Instrument Malaysia Sdn Bhd, TDM Plantation, Eastern Steel Sdn Bhd, Eastern Pacific Industrial Corporation (Epic) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC),” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata mereka yang berminat disaran agar berpakaian kemas dan membawa salinan dokumen yang diperlukan termasuk resume.
“Ada syarikat yang dijangka akan membuat temuduga terus dan ada yang akan membuat penilaian semula untuk dipanggil bagi temuduga,” katanya. – BERNAMA