PEKAN – Anggota UMNO diminta menerapkan konsep 4S dalam berhadapan situasi politik negara yang semakin mencabar pada pada kini untuk memastikan survival parti.
Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan yang membuat gesaan itu berkata, 4S berkenaan adalah setia, sepakat, strategi dan sungguh-sungguh.
“Kita perlu setia dan sepakat pada perjuangan parti, dan dalam masa yang sama kita perlukan strategi untuk mendepani rakyat yang perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
“Dalam keadaan politik yang mencabar pada masa kini, kita hanya perlukan satu nakhoda sahaja, kita tidak boleh meredah gelombang yang mencabar kalau ada dua, tiga nakhoda dalam satu kapal.
“Orang dalam kapal pulak jangan menjadi penebuk lubang kapal, sepatutnya menjadi penampal lubang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Pekan di sini hari ini.
Bagaimanapun beliau yakin, usaha segelintir pihak tertentu untuk menenggelamkan bahtera parti UMNO tidak akan berjaya kerana ramai yang akan membantu untuk menampal lubang yang ditebuk oleh pihak berkenaan.
“Dahulu cabaran kita berbeza kerana tidak ada media sosial, sekarang orang muda perlu didekati dengan media sosial positif.
“Jadi Pemuda perlu tampil pertahankan parti dan memain peranan menjadi “pahlawan papan kekunci” (menerusi laman sosial) seperti yang dikehendaki oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.
Dalam masa yang sama, Ahmad berkata anggota UMNO juga perlu bijak membangkitkan kembali kisah-kisah kejayaan dan sumbangan kerajaan di bawah pimpinan Najib seperti produk 1Malaysia yang telah banyak membantu rakyat.
“Dalam satu kertas putih, kalau ada dua tiga titik hitam di atasnya, janganlah kita ceritakan atau perbesarkannya sampai lupa warna putih yang masih meliputi kertas itu,” kiasnya. – BERNAMA