SIBU – Lima penguatkuasa Jabatan Imigresen Miri cedera apabila van mereka naiki terbabas di Jalan Sarikei-Bintangor, 15km dari pekan Bintangor lewat hari ini.
Van yang dipandu Nor Haffidz Zainudin Sharkawi, 33, dipercayai terbabas ke dalam parit sebelah kanan selekoh jalan tersebut berhampiran pejabat Lembaga Lada Malaysia dipercayai disebabkan permukaan jalan licin.
Mangsa lain yang terlibat ialah Syahrony Perdus, 33, (penumpang hadapan), serta penumpang belakang Zulhazi Ruku, 29; Mazlan Abdul Salam, 29; dan Mohd Firdaus Abdul Kassim (yang belum diketahui usianya).
Menurut sumber dari Ibu Pejabat Polis Daerah Bintangor, semasa kejadian keadaan cuaca hujan lebat dan kemalangan itu menyebabkan kenderaan tersebut rosak teruk.
Mereka dikatakan sedang dalam perjalanan dari Kuching ke Sibu.
Mangsa-mangsa dibawa ke Hospital Sarikei untuk rawatan. – BERNAMA