GEORGETOWN – Enam kereta milik orang awam yang diletak bersebelahan sebuah bangunan dalam pembinaan di sini rosak apabila ditimpa bancuhan simen yang jatuh dari bangunan di Jalan Moulmein, Pulau Tikus hari ini.
Kejadian pada pukul 10 pagi itu menyebabkan tiga daripada kereta terlibat iaitu Honda City, Proton Iswara dan Perodua Axia rosak teruk seperti kemek dan pecah cermin belakang.
Seorang saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Teh berkata beliau yang berada tidak jauh dari tempat kejadian terdengar bunyi dentuman kuat sebelum bunyi kaca pecah dari arah bangunan berkenaan.
“Saya terkejut dengar bunyi dentuman itu dan kemudian nampak beberapa orang bergegas masuk ke kawasan bangunan itu…saya juga pergi untuk lihat apa yang berlaku.
Bancuhan simen itu menghempap kereta yang parking di situ dan beberapa bahagian kereta diselaputi simen dan rosak, nasib baik tidak kena orang,” katanya di sini hari ini.
Seorang pemilik kenderaan yang mahu dikenali sebagai Ong, 50-an berkata beliau terkejut sebaik terdengar dentuman kuat dari tapak pembinaan itu selepas kurang 10 minit keluar dari keretanya.
“Saya bersama anak dan cucu berpatah untuk melihat apa yang berlaku dan tergamam seketika apabila mendapati Honda City saya dipenuhi simen basah manakala cermin tingkap pecah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya menerima laporan polis daripada pemilik kereta yang terlibat dan telah memanggil wakil pemaju untuk mendapatkan penjelasan berhubung kejadian itu.
“Seorang pengurus tapak binaan itu telah menjelaskan apa yang berlaku dan mengaku akan bertanggungjawab serta membayar ganti rugi kepada pemilik kenderaan terlibat,” katanya. – BERNAMA