KONTROVERSI yang menyelubungi Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG) yang cuma menggunakan modal berbayar RM2 nampaknya sukar untuk dibendung lagi.
Dari sehari ke sehari, satu-persatu persoalan tentang kewajaran penubuhannya dilontarkan banyak pihak. Manakan tidak, ketika sidang Dewan Undangan Negeri Selangor dijalankan baru-baru ini, ia menjadi panas gara-gara beberapa ADUN termasuk dari DAP yang mendesak supaya penubuhan DEIG dikaji semula.
Nada sama turut dikongsi Ahli Parlimen Kelana Jaya dari PKR, Wong Chen apabila berkata, tahap ketelusan DEIG yang bertindak menguruskan aset negeri berjumlah RM30 bilion amat membimbangkan.
Lebih bertambah malang, sehingga kini, jawapan yang diberikan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali untuk menepis segala pertikaian yang wujud langsung tidak menghilangkan keraguan rakyat.
Dalam satu sidang media yang diadakan oleh Setiausaha Agung BN Selangor, Budiman Mohd Zohdi sebentar tadi, beliau menyifatkan situasi ini seperti ‘ada udang di sebalik batu’ kerana jawapan yang diberikan Azmin langsung tidak memuaskan.
“Kecenderungan jawapan-jawapan Dato Menteri Besar pula menjurus kepada peranan kerajaan negeri dan tidak menjawab akan keperluan dan kepentingan penubuhan syarikat DEIG berbanding MBI sedia ada,” ujar beliau ketika berlangsungnya sidang media tersebut di Bangunan UMNO Selangor.
Lantas itu, Budiman yang juga Adun Sungai Panjang melontarkan lapan isu pokok yang menimbulkan 1001 pertanyaan berdasarkan jawapan dari Azmin Ali.
1. Kenapa DEIG ditubuhkan?
Jawapan Azmin, penubuhan DEIG dibuat kerana Menteri Besar Incorporated Selangor (MBI) tidak pernah menyumbang kepada pendapatan Kerajaan Negeri melalui dividen.
Namun demikian, menurut Budiman, MBI merupakan Syarikat Pemegang atau Holding Company, justeru ia adalah ‘cost centre’ dan bukan ‘profit centre’.
2. Operasi
Dari segi operasi, ia akan ditadbir oleh Lembaga Pengarah yang terdiri daripada Menteri Besar Selangor, Setiausaha Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Ketua Pegawai Eksekutif MBI dan Ketua Pegawai Operasi MBI dan ia bakal disokong oleh golongan profesional yang pakar dalam bidang pelaburan strategik.
Namun, yang menjadi pertikaian, kenapa ia baru dilantik dan tidak semasa awal penubuhannya?
3. DEIG sebagai ‘orang tengah’?
Penubuhannya dikatakan berpunca dari 12 kumpulan anak syarikat MBI yang menguruskan portfolio bisnes masing-masing serta dibebani dengan legasi mereka sendiri.
Namun menurut Budiman, tindakan yang sepatutnya diambil Azmin adalah menggabungkan anak-anak syarikat tersebut bagi mengecilkan organisasi, bukannya menambah satu lagi organisasi lain sebagai orang tengah.
4. Teluskah DEIG?
DEIG dilaporkan didaftar mengikut Akta Syarikat 1965, Seksyen 169, Sub Seksyen 1 yang mana ia mewajibkan penyata kewangan DEIG diaudit dan dibentangkan kepada pemegang saham serta dihantar kepada Suruhanjaya Syarikat setiap tahun.  Malah orang awam turut dapat melihat perincian laporan kewangan tersebut menerusi laman web SSM.
Walau bagaimanapun, yang menjadi pertikaiannya bukanlah ‘compliance’ dengan Akta Syarikat 1965 tetapi ketelusan dalam pembentangan DEIG kepada rakyat sebelum membuat sebarang keputusan.
5. MBI vs DEIG
Untuk memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban, setiap keputusan komersil serta pelaburan DEIG akan ditentukan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pemilihan, Tender, Audit dan Pelaburan.
Namun, ujar Budiman, ia langsung tidak menjawab rasionalnya penubuhan DEIG berbanding MBI yang sedia ada. Andai dilihat, struktur MBI jauh lebih telus dan tersusun serta ia juga terikat di sisi undang-undang negeri, jika dibandingkan dengan DEIG yang sama tarafnya  dengan syarikat ‘Sdn Bhd’.
6. MBI vs DEIG II
Selain itu, DEIG juga akan mempunyai struktur tata kelola dan ‘check and balance’ yang menurut best practice industri korporat.
Tapi, ia turut tidak menjawab kenapa perlunya DEIG kerana penubuhan MBI di bawah Enakmen Negeri lebih ‘justified and convinced’ jika dibandingkan dengan penubuhan dan undang-undang yang mengikat DEIG.
7. Peranan DEIG
Kerajaan Selangor mengatakan bahawa mereka akan memastikan DEIG ditadbir menurut ketelusan, tata kelola korporat, akauntabiliti dan kawalan dalaman yang ketat. Selain itu, pengurusan anak-anak syarikatnya juga akan subscribe to the highest form of governance.
Akan tetapi, Budiman berkata, apa yang dipersoalkan adalah peranan DEIG dan bukanlah peranan kerajaan negeri.
8. Peranan DEIG II
Selain itu, kerajaan negeri juga akan berkata bahawa mereka akan mengfokuskan kepada menyediakan persekitaran yang kondusif untuk bisnes, memastikan keadilan dalam pengagihan menerusi program keadilan sosial serta memastikan tiada lagi perjanjian yang berat sebelah untuk anak syarikat milik mereka.
Sekali lagi, menurut Budiman, yang menjadi persoalan adalah peranan DEIG dan bukannya kerajaan negeri.
Selain lapan isu pokok berkenaan, Budiman turut mempertikaikan berkenaan isu perlantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Operasi (COO) yang tidak dilakukan melalui proses lantikan terbuka.
Bukan itu sahaja, beliau turut ragu-ragu dengan kenyataan Azmin bahawa DEIG hanya akan beroperasi pada suku pertama 2016. “Isunya di sini adakah benar syarikat ini sememangnya belum beroperasi?”
Sebelum ini, Mantan MB Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrhim turut tidak berpuas hati dengan penubuhan syarikat berkenaan atas alasan ia tidak tertakluk di bawah enakmen negeri, lantas tidak perlu melaporkan penyata kewangan dalam DUN.
Bukan itu sahaja, hari ini, Timbalan Menteri Luar, Datuk Reezal Merican Naina Merican menyarankan supaya Azmin membenarkan Ketua Audit Negara serta Jawatakuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) meneliti pengendalian aset syarikat tersebut.
Apa-apapun, kita tunggu sahaja Azmin Ali menjawab segala keraguan yang dilontarkan kepadanya berhubung syarikat kontroversi tersebut.
Sementara itu, ada juga yang pelik apabila suara lantang Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Batu, Tony Pua tiba-tiba sunyi sepi apabila spekulasi dari puak sendiri. Alahai… – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=7FgERh0wC9w&feature=youtu.be
Wartawan: IZZAT MOHD ANUAR
Foto/Video: RIZA RAZAK
Pan letak mat sabu jadi calun?hanyutla