MELAKA – ‘Ayam tambatan’ Melaka United, Nurshamil Abd Ghani berbangga dapat menghadiahkan Piala Liga FAM kepada negeri kelahirannya setelah 32 tahun ketandusan sebarang piala dalam arena bola sepak tempatan.
Pemain muda berasal dari Kampung Paya Rumput, Cheng di sini, muncul wira Melaka United apabila menjaringkan hatrik menentang Perlis dalam perlawanan akhir Liga FAM malam tadi, menyaksikan pasukan tuan rumah menang 3-2.
“Saya bersyukur, walaupun musim pertama bersama Melaka United dan Liga FAM, saya dapat bermain dengan baik sekali gus melakar sejarah menang piala serta layak ke Liga Perdana tahun depan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Bekas pemain Harimau Muda B berusia 21 tahun itu muncul penjaring terbanyak Liga FAM musim ini, dengan 15 gol.
“Muncul penjaring terbanyak memberi semangat kepada saya untuk terus mengharumkan nama negeri ini. Terima kasih kepada penyokong Melaka United yang tidak putus-putus memberi sokongan membantu kami terus berjuang,” katanya.
Ketua jurulatih Melaka United, Mat Zan Md Aris berkata kejayaan tersebut adalah kemenangan kepada penyokong yang terus setia bersama skuad Sang Kancil.
“Walaupun pada minit-minit akhir begitu getir, pemain dapat beraksi dengan tenang dan baik…akhirnya mereka berjaya menjaringkan gol kemenangan.
“Kita lihat stadium penuh (malam tadi). Terima kasih kerana terus menyokong kami, kegembiraan dan sokongan padu penyokong buat kami terharu,” katanya. – BERNAMA