SIBU – Anggota-anggota Sibu Toastmaster International Club disaran agar mencontohi cara Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berucap yang dapat menarik perhatian umum.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, Adenan memiliki gaya yang unik, bersahaja dan menggunakan bahasa mudah ketika berucap.
“Beliau bercakap mengikut gaya tersendiri di samping diselit dengan jenaka. Ini adalah cara untuk menarik perhatian hadirin supaya terus mendengar ucapannya.
“Yang penting beliau akan menamatkan ucapan apabila merasakan beliau patut berhenti,” katanya pada majlis angkat sumpah exco dan majlis sambutan jubli perak Sibu Toastmaster International Club di sini Ahad malam.
Toastmasters International yang wujud sejak 1924 dan kini berkembang di seluruh dunia dengan 313,000 keanggotaan yang bertujuan membangun kemahiran pengucapan awam dan kepimpinan dalam kalangan ahlinya.
Wong turut menyarankan anggota muda persatuan itu melengkapkan diri dengan kemahiran pengucapan awam dan kepimpinan.
Beliau mengumumkan geran kerajaan berjumlah RM10,000 kepada persatuan itu. – BERNAMA