SINGAPURA – Polis Diraja Thailand mengesahkan seorang wanita rakyat Singapura terbunuh dalam letupan bom dahsyat di Bangkok malam Isnin, lapor stesen milik pemerintah republik itu, Channel NewsAsia.
Manakala beberapa lagi warga Singapura dilaporkan cedera dalam letupan yang terburuk di pusat bandar raya ibu kota Thailand itu, kata jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura (MFA) di sini.
Dalam kenyataan bagi menjawab pertanyaan media berkaitan letupan di tengah-tengah Bangkok itu, jurucakap MFA berkata: “Kami difahamkan terdapat beberapa lagi rakyat Singapura yang cedera.
“Petugas kedutaan menghulur bantuan konsular yang perlu kepada rakyat Singapura yang terjejas. Mereka turut berhubung dengan pihak berkuasa Thai untuk memastikan sama ada terdapat lagi rakyat Singapura.
“MFA turut menghubungi semua rakyat Singapura yang berada di Bangkok ketika waktu kejadian sama ada yang bekerja, bercuti dan sebagainya untuk mendapatkan maklumat sebenar.”
Laporan menyebut sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dan lebih 120 orang cedera dalam insiden yang berlaku pada Isnin malam berhampiran sebuah kuil di tengah-tengah ibu kota Thailand itu.
Kuil Erawan adalah destinasi pelancongan popular di Bangkok, dan ramai warganegara asing termasuk pelancong dari China, adalah antara yang terkorban.
Jurucakap itu berkata, pemerintah Singapura mengutuk sekeras-kerasnya letupan bom di Bangkok dan dukacita akibat ramai individu tidak berdosa kehilangan nyawa mereka itu.
“Kami merakamkan ucapan takziah dan perasaan amat sedih kepada keluarga mangsa dan berdoa agar mereka yang cedera akan segera sembuh,” katanya.
MFA dan kedutaan Singapura memantau rapi berkembangan itu malah menggesa rakyatnya agar sentiasa berwaspada, termasuk elak berada dekat kawasan letupan selain mengikuti perkembangan terkini berita tempatan.
Mereka perlu menghubungi kedutaan Singapura di Bangkok menerusi talian +66 81 844-3580 atau [email protected] jika memerlukan bantuan segera.
Selain itu, mereka juga boleh menghubungi Pegawai Bertugas MFA 24 jam di talian +65 6379 8800 / 8855 atau [email protected].
Warga Singapura yang berada di Bangkok atau sedang mengunjungi bandar raya berkenaan dinasihati mendaftarkan diri dengan kedutaan di Singapura menerusi eregister.mfa.gov.sg. – BERNAMA
https://youtu.be/BQjw_aZE_Tw