PULAU KOS (Greece) – Kira-kira 50 pendatang dari Afghanistan, Pakistan dan Iran bertumbuk dan melontar batu antara satu sama lain di luar sebuah balai polis Greece di sini, kelmarin.
Kejadian berlaku selepas mereka berebut-rebut untuk menaiki sebuah kapal penumpang yang disewa khas untuk menempat dan memproses pelarian.
Keutamaan diberikan kepada rakyat Syria untuk menaiki kapal Eletherios Venizelos kerana mereka dianggap pelarian.
Laungan ‘Afghanistan,’ ‘Pakistan’ dan ‘Iran’ kedengaran ketika pergaduhan itu.
Sekumpulan rakyat Iran kemudian cuba merempuh kawalan polis yang menutup laluan ke balai itu.
Sekurang-kurangnya seorang lelaki pengsan selepas ditendang sementara beberapa yang lain cedera di muka.
Pendatang berkenaan berkumpul di balai polis itu dengan harapan untuk mendaftar dan memperoleh dokumen bagi membolehkan mereka menetap sementara di Greece.
Seorang anggota polis berkata, mereka tidak campur tangan untuk meleraikan pergaduhan berkenaan kerana matlamat utama mereka ialah untuk melindungi balai polis.
Awal minggu lalu, polis terpaksa menggunakan pemadam api dan belantan selepas keganasan meletus di sebuah stadium sukan, tempat ratusan pendatang menanti untuk mendapatkan dokumen imigresen.
Statistik Pertubuhan Migrasi Antarabangsa menunjukkan hampir 250,000 pendatang menyeberangi Laut Mediterranean untuk ke Eropah sejak awal tahun ini. – Agensi/myMetro Online