BUTTERWORTH – Mahkamah Majistret di sini menangguhkan perbicaraan kes seorang bapa yang didakwa mendera anak perempuannya berusia tujuh tahun kepada 11 Sept depan.
Majistret Muhammad Firdaus Abdul Wahab menetapkan tarikh itu ketika kes itu disebut di hadapannya hari ini.
Ketika ditemui Bernama, peguam Saiful Ambar Abdullah Ambar yang mewakili tertuduh, iaitu seorang bapa berumur 34 tahun, memaklumkan kes itu yang sepatutnya dijadual untuk sambung bicara pada hari ini, ditangguhkan berikutan tiada saksi yang hadir.
Saiful Ambar berkata selain itu Timbalan Pendakwa Raya Roslina Idris yang mengendalikan kes berkenaan juga tidak hadir di mahkamah kerana cuti kecemasan.
Pada 21 Jan lepas lelaki itu didakwa menganiaya dan mendedahkan kanak-kanak itu di bawah jagaannya itu kepada kecederaan fizikal dan emosi di sebuah rumah di Sungai Dua pada 7.23 malam, 15 Jan lepas.
Dia yang bekerja sebagai atendan pam minyak didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.- BERNAMA