KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah bola sepak Malaysia ibarat sebuah medan peperangan.
Titah baginda, menyedari hakikat itu maka pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan terus berjuang walau apa jua keadaan perlu ditempuhi dalam peperangan itu.
“Bolasepak di Malaysia ibarat medan perang. Saya tidak pernah melihat JDT sebagai johan, tetapi sebagai ‘survivor’.
“Itu yang saya lihat, kita terus hidup walaupun berdepan apa jua keadaan,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.
Pasukan JDT sedang berhempas pulas bagi mengekalkan kejuaraan Liga Super musim ini kerana sedang diekori rapat pasukan Pahang.
JDT juga hanya mampu mencatatkan kemenangan tipis 1-0 dalam dua perlawanan sebelum ini iaitu ketika bertemu ATM dan LionsXII.
Senario itu menimbulkan kegelisahan dalam kalangan penyokongnnya sama ada JDT mampu mencatat kemenangan hingga ke aksi terakhir musim ini untuk mengekalkan gelaran Juara Liga Super. – MYNEWSHUB.CC