ALOR SETAR – Sebuah bot nelayan milik rakyat tempatan bernilai RM1.5 juta yang dilaporkan dirompak dan hilang pada 15 Ogos lepas di perairan Kedah, berjaya ditemukan di Pulau Taratao, Thailand pada Isnin lalu.
Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Tan Kok Kwee berkata, bot nelayan tersebut yang bersauh, ditinggalkan perompak warga asing dipercayai telah melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa Thailand.
Pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Wilayah Utara katanya menerima aduan kehilangan dan kejadian rompakan bot nelayan kelas C tersebut daripada Jabatan Perikanan Kuala Kedah pada pukul 10.45 pagi, 16 Ogos.
Sejurus selepas itu, APMM katanya telah menghubungi Pegawai Perhubungan Khas Satun-Langkawi bagi mendapatkan bantuan pihak berkuasa Thailand.
“Kurang 24 jam selepas itu, Pegawai Perhubungan Khas Satun-Langkawi mengesahkan Polis Marin Thailand berjaya mengesan bot terbabit di Pulau Taratao, kira-kira 11 pagi waktu Malaysia,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Hasil siasatan APMM katanya, bot berkenaan telah dirompak pada pukul 11.30 malam, 15 Ogos, di kawasan 1.2 batu nautika berhampiran persempadanan perairan Malaysia-Thailand, kira-kira 40 batu nautika barat Pulau Langkawi.
Tan berkata bot yang membawa lima kru warga Thailand berumur 30 hingga 40 tahun itu, dilaporkan dinaiki kira-kira empat hingga lima perompak warga asing yang lengkap bertopeng dan membawa dua hingga tiga laras senjata M-16.
Kesemua perompak katanya, dipercayai dari negara jiran, menggunakan bot jenis ekor biawak dan naik ke atas sebuah lagi bot nelayan Malaysia bagi mendekati bot nelayan yang ingin dirompak itu.
“Perompak kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke udara, merampas telefon bimbit anak kapal, alat komunikasi bot dan memaksa kesemua kru bot terbabit menaiki sebuah bot nelayan lain untuk pulang ke Kuala Kedah,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Kesemua kru bot dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederan.
Jelasnya, sebelum merampas dan melarikan bot nelayan itu ke perairan Thailand, perompak yang berbahasa Thailand itu telah memberi amaran dan mengugut akan membakar bot tersebut sekiranya anak kapal melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.
Pihak Polis Marin Thailand menunda bot nelayan tersebut ke jeti Jong Varee, Chebilang Satun pada pukul 4 petang waktu Malaysia untuk siasatan lanjut.
“Pengusaha bot pergi ke Satun pada Selasa lepas untuk menuntut semula bot itu, dengan bantuan Pegawai Perhubungan Khas Satun-Langkawi dan APMM, bot tersebut telah berjaya dituntut dan dibawa balik ke Kuala Kedah pada 11 malam tadi diiringi Kapal Maritim Siangin,” katanya.
Tan berkata, perompak terbabit dipercayai ingin meminta wang tebusan, namun tidak berkesempatan apabila pihak Polis Marin Thailand terlebih dahulu menjumpai bot terbabit.
Pemilik bot berkenaan, Tan Oon Hwa, 55, berasal dari Kuala Kedah yang turut hadir pada sidang media itu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu mencari bot miliknya. – BERNAMA