MALANG tak berbau.. itulah peribahasa yang sinonim dengan situasi yang dihadapi oleh seorang budak lelaki di Taiwan ini.
Menerusi rakaman litar tertutup CCTV, budak lelaki berusia 12 tahun itu yang sedang mengikuti sebuah lawatan di muzium tersadung dan jatuh secara tiba-tiba di sebuah lukisan di situ menyebabkan ia berlubang.
Budak lelaki tersebut terkedu serta tergamam sebentar selepas melihat lubang sebesar genggaman tangannya terhasil di atas lukisan yang dikatakan sudah berusia lebih 300 tahun itu.
Lukisan tersebut adalah karya pelukis Paolo Porpora yang bernilai lebih RM6.4 juta yang diberi nama Flowers.
Menurut penganjur pameran Faces Of Leonardo: Images Of Genius Sun Chi-Hsuan, penganjur tidak akan meminta ganti rugi daripada keluarga kanak-kanak itu.
Dia juga menyatakan budak lelaki itu sangat gementar dan tidak sepatutnya dipersalahkan. Kerosakan pada lukisan itu akan ditanggung oleh pihak insuran.
“Lukisan tersebut telah rosak di sebelah kanan bahagian bawahnya. Budak itu telah menahan dengan tangannya menyebabkan ia berlubang pada lukisan itu,” kata Chi-Hsuan.
Lukisan itu dikatakan agak ‘rapuh’ kerana usianya yang sudah tua dan lama. Apa-apa pun, mujurlah pihak penganjur tidak menuntut ganti rugi daripada keluarga budak lelaki itu. – Agensi/MYNEWSHUB.CC
Rakaman CCTV menunjukkan saat-saat budak lelaki tersadung pada lukisan bernilai RM6.4 juta.
https://www.youtube.com/watch?v=5aNOdQv2ZnE