KATHMANDU – Dua gegaran lemah dirasai di Kathmandu dan daerah berdekatan awal pagi Ahad.
Gegaran berukuran 4.3 pada skala Richter dengan pusat gempa di Dhading, 25 kilometer di barat Kathmandu, menggegarkan ibu negara Nepal itu dan daerah di sebelah baratnya sebelum subuh, menurut Pusat Seismologi Nasionalnya (NSC).
Gegaran kedua berukuran 4.1 dengan pusat gempanya di Dolakha, kira-kira 85 kilometer di timur Kathmandu, melanda kawasan itu sebaik sahaja menjelang pagi, kata NSC.
Impak gegaran itu dirasai di Kathmandu dan beberapa daerah bersebelahan dan sekumpulan penduduk di Kathmandu keluar dari rumah mereka apabila gempa itu melanda.
Bagaimanapun, tiada kerosakan baharu dilaporkan.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Nepal Laxmi Prasad Dhakal berkata: “Kami tidak menerima sebarang laporan kerosakan baharu daripada gempa bumi pada Ahad.”
Ahli seismologi NSC Lok Bijaya Adhikari berkata kedua-dua gegaran adalah susulan gempa bumi 25 April.
Gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Nepal pada 25 April lalu meragut lebih daripada 9,000 nyawa dan merosakkan harta bernilai berbilion dolar.
Setakat ini, 386 gempa susulan berukuran lebih daripada 4 pada skala Richter direkodkan sejak gempa bumi 25 April melanda Nepal. – BERNAMA
https://youtu.be/AJc5J2iDcRM