PENGURUS pasukan FELDA PB Racing, Ahmad Nashrul Baharudin menjangkakan pelumba mereka, Mohd Fareez Afeez akan lebih menyinar sebaik saingan separuh musim kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2015 kembali bersambung di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar Perlis, minggu ini.
Nashrul menjelaskan sepanjang lima pusingan lepas, Fareez telah menunjukkan prestasi cemerlang dengan meraih podium dan mengumpul 43 mata untuk berada di tangga keenam keseluruhan ketika ini.
Meskipun begitu, masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki bagi merapatkan jurang mata setelah ketinggalan 55 mata di belakang pendahulu, Kasma Daniel Kasmayuddin (PETRONAS Yamaha Maju Motor).
Lain-lain pelumba yang berada di atas Fareez ialah Tengku Amirul Haffirudin, Ahmad Syukran Aizat, Izzat Zaidi Salehan dan Emir Firdaus Hasan.
Secara keseluruhan, Nashrul berpuas hati dengan pencapaian setakat ini memandangkan Fareez mampu memikul tanggungjawab dan tekanan berat yang terpaksa dihadapinya.
“Fareez telah mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang lima pusingan lepas kecuali perlumbaan di Melaka. Perlumbaan di Melaka tidak begitu baik apabila Fareez terlibat dalam kemalangan pada peringkat kelayakan selain turut mengalami masalah jentera menjelang perlumbaan akhir.
“Selain daripada masalah tersebut, secara keseluruhannya dia telah menunjukkan peningkatan ketara berbanding musim lepas,” jelas Nashrul.
“Selepas berehat panjang, kami meletakkan harapan untuk dia meraih keputusan yang lebih baik. Kami percaya dia mempunyai pengalaman, stamina dan keupayaan untuk bersaing dengan pelumba di kelompok depan yang lebih berpengalaman.
“Di samping itu kami turut mempunyai tenaga pasukan yang terbaik untuk mempersiapkan jentera yang bagus. Jadi tidak ada sebarang alasan kenapa dia tidak boleh memberikan aksi terbaik,” tambahnya.
“Cuma, apa yang sedikit membimbangkan pengurus itu ialah sikap Fareez yang terlalu memaksa dalam setiap perlumbaan sehingga boleh mengundang padah terhadap dirinya sendiri.
“Fareez begitu bersemangat tinggi dalam setiap perlumbaan, dan adakalanya dia mencuba seuatu yang diluar kemampuannya. Meskipun ia sesuatu yang baik, namun seringkali membawa kepada kesilapan.
“Fareez perlu belajar untuk merencana strategi lebih baik dalam setiap perlumbaan. Jika dia mampu melakukannya, saya yakin dia berupaya menjadi pencabar utama untuk merebut podium dalam setiap pusingan akan datang.” – MYNEWSHUB.CC