KUALA LUMPUR: Gabungan Siswa Kebangsaan (GASAK) mewakili suara anak-anak muda di universiti awam membantah serta menolak sekeras-kerasnya perhimpunan haram Bersih 4.0 yang diadakan di ibu negara.
Menerusi satu sidang media yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, wakil GASAK, Farhan Khairuddin menyatakan mereka akan kemukakan satu memorandum kepada Ketua Polis Negara.
Ini bagi menggesa pihak polis untuk bertindak lebih tegas dan efisen supaya dapat menghalang perhimpunan haram jalanan tersebut daripada berlangsung.
[WAHAI AHLI PAS! JAUHILAH BERSIH 4.0, TAATLAH PEMIMPIN ANDA]
Farhan juga menyatakan demonstrasi bukanlah cara untuk mengubah kerajaan atau menzahirkan rasa tidak setuju dengan dasar mahupun sistem yang dijalankan oleh sesebuah pemerintah.
Sebaliknya, masyarakat perlu sedar bahawa cara untuk mengubah kerajaan adalah melalui peti undi ketika pilihan raya dan bukannya demonstrasi liar di jalanan.
Dia juga sempat memetik penulisan seorang tokoh berpengaruh Yahudi Zionis yang menyatakan salah satu cara untuk menjatuhkan sistem di sesebuah negara adalah melalui ‘jalanan.’
Mewakili majoriti penuntut di universiti awam, Farhan menggesa agar mahasiswa tidak terlibat dengan perhimpunan ini dan tahu kesan buruk yang bakal ditanggung oleh negara.
“Persepsi yang ditunjukkan kita kepada negara serta media luar adalah persepsi yang buruk. Seperti Indonesia dan Thailand, pelabur takut datang ke negara mereka kerana dari sudut geopolitiknya tidak kukuh,” ujar Farhan.
“Apa yang kita mahukan, negara kita kekal harmoni dengan berpaksikan kepada sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen,” tambahnya.
Antara turut hadir menyokong tindakan GASAK menghantar memorandum tersebut termasuklah alumni MANTAP, NGO SALUTE Malaysia serta Sekretariat Mahasiswa Nasional.
Difahamkan laporan polis juga dibuat secara persendirian oleh kumpulan-kumpulan NGO yang terlibat.
– MYNEWSHUB.CC
Oleh: Syfq Akhir