ARAU – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menasihatkan graduan politeknik agar menggunakan ilmu dan kemahiran yang dipelajari bagi membantu memajukan negara.
Titah baginda, dalam zaman global lagi mencabar ini, setiap negara tidak terkecuali Malaysia memerlukan rakyatnya memiliki kemahiran tinggi untuk menggerakkan pembangunan.
“Oleh kerana politeknik merupakan pusat pengajian yang mengutamakan latihan kemahiran, beta mahu para graduan mengisi ruang tersebut,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen Kesembilan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Pauh di sini, hari ini.
Berangkat sama pada konvokesyen itu Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dan isteri, Datin Seri Noraswana Omar serta Speaker Dewan Undangan Negeri, Hamdan Bahari turut hadir.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah setiap graduan yang berpeluang memegang sesuatu jawatan sama ada dalam sektor swasta atau kerajaan perlu melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan penuh jujur dan ikhlas.
Menurut baginda untuk menjadi seorang rakyat yang berguna kepada bangsa dan negara, kejayaan dalam bidang kemahiran dan akademik sahaja tidak mencukupi tanpa ilmu keagamaan dan akhlak mulia.
“Beta yakin dengan mempunyai ilmu agama dan akhlak yang tinggi mampu menjadi perisai untuk graduan menangkis amalan tidak sihat yang meruntuhkan institusi keluarga selain masa depan sendiri,” titah baginda.
Terdahulu, Pengarah PTSS Sulong Yahaya dalam ucapannya berkata sebanyak 1,377 graduan pelbagai bidang layak menerima diploma dan sijil pada konvokesyen itu.
Katanya PTSS telah mengeluarkan lebih 11,000 graduan dalam bidang Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekanikal, Pelancongan dan Hospitaliti, Perdagangan, Rekabentuk dan Komunikasi Visual serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi sejak beroperasi pada 2004.
Pada konvokesyen itu, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyampaikan Anugerah Diraja Yayasan Tuanku Syed Putra dan Anugerah Pengarah PTSS Sesi 2014 kepada graduan Perdagangan, Ahmad Naqiuddin Baharudin, 21, dari Kuala Lumpur.
Graduan Pelancongan dan Hospitaliti, Teh Kok Meng, 21, dari Batu Pahat, Johor pula menerima Anugerah Pengarah PTSS bagi Sesi Disember 2013. – BERNAMA