KOTA BAHARU – Anggota dan pemimpin UMNO perlu menghalang pihak yang cuba menumbangkan parti dan kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Beliau berkata pihak tidak bertanggungjawab terbabit akan melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat mereka walaupun gerakan untuk menumbangkan UMNO dan kerajaan BN itu melalui ‘pintu belakang’.
“Kita percaya gerakan ini satu gerakan nak tengok kerajaan yang ada sekarang tumbang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Mahdzir mengulas pendedahan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini bahawa terdapat gerakan untuk mengguling kerajaan oleh pembangkang dan didalangi oleh seorang tokoh UMNO yang juga pemimpin BN.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri dilaporkan berkata rancangan itu dijalankan untuk mendapat akuan bersumpah (statutory declaration) daripada anggota Parlimen pembangkang, serta cuba menarik anggota Parlimen BN.
Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan, yakin anggota Parlimen BN akan bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk menangani perkara tersebut.
Beliau berkata anggota UMNO perlu sedar dan berwaspada dengan gerakan untuk memecah-belahkan UMNO dengan mewujudkan pelbagai persepsi untuk menghakis keyakinan kepada pucuk pimpinan parti.
“Mereka telah berjaya memecah-belahkan PAS kepada Gerakan Harapan Baru dan sekarang, pihak terbabit cuba memecah-belahkan UMNO,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta seluruh anggota UMNO memperkukuhkan perpaduan dan melaksanakan perjuangan parti sebaik mungkin untuk memastikan BN menang pada Pilihan Raya Umum akan datang. – BERNAMA