KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menasihatkan warga kota agar berhati-hati dengan agenda penganjur perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan yang berniat memecah-belahkan perpaduan masyarakat.
“Saya minta orang ramai jangan ikut dalang-dalang kebanyakannya orang luar yang suka membuat demonstrasi jalanan kerana ia hanya akan merosakkan bandar raya ini,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas penganjuran perhimpunan haram Bersih 4.0 yang dijadualkan berlangsung pada 29 dan 30 Ogos depan.
Tengku Adnan berkata rakyat diminta tampil membantu kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa ingin mendengar apa yang rakyat mahukan.
“Tidak guna anda semua ke jalanan, tampil ke hadapan dan beritahu apa yang perlu kami lakukan untuk anda dan kami akan cuba memenuhinya sebaik mungkin.
Kami akan mendengar luahan rakyat.
“Akan ada banyak perubahan, percayakan kami dan perubahan ini adalah untuk kebaikan rakyat,” katanya. – BERNAMA