INDUSTRI hiburan hari ini dikejutkan dengan berita pencipta lagu dan penyanyi bersuara emas, Hazami yang kini terlantar di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat menghidap pendarahan dalam usus.
Menurut abangnya, Azhary Ahamad, Hazami pada mulanya hanya mengadu sakit perut kira-kira pukul 11 malam tadi dan meminta bantuan seorang rakan untuk membawa dirinya ke klinik.
“Dia mula mengadu sakit perut dan mahu ke klinik untuk mendapatkan rawatan sejak semalam. Tetapi ketika itu dia menghubungi kawannya untuk membawanya ke klinik. Sebelum ke klinik pun, dia sudah pitam.
“Semasa tiba di klinik, dia sekali lagi pengsan dan keluar darah dari bahagian ususnya menyebabkan doktor meminta ia dirujuk ke hospital. Pada sebelah malamnya, dia dimasukkan ke ICU, ” katanya.
Tambah Azhari, selepas dimasukkan Pusat Perubatan Tropicana Damansara, doktor mengesahkan Hazami perlu menjalani pembedahan kerana penyakit tersebut boleh menjadi kanser jika tidak diubati dengan segera.
“Dia berada dalam keadaan yang sangat lemah. Doktor masih belum pasti bilakah pembedahan itu dapat dilakukan. Ia bergantung kepada keadaan Hazami,” ujarnya.
Difahamkan, buat masa ini penyanyi Winter Sonata ini sedang dipantau oleh satu unit khas pusat perubatan itu dan tiada sesiapa dibenarkan melawat melainkan ahli keluarga terdekat sahaja.
Kita doakan moga pembedahan Hazami  berjalan lancar dapat segera pulih seperti sedia kala. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: CARRIE
Sumber: Berita Harian
https://www.youtube.com/watch?v=SRRnpsIZY9U