KUALA LUMPUR – Perbuatan seorang ibu tunggal yang memukul kepala ibunya sehingga berdarah akhirnya dibalas apabila dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini Isnin.
Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan menjatuhkan hukuman itu ke atas Hazlina Hashim, 39, seorang promoter pasar raya, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap ibunya, Teh Maznah Yahya, 69, dengan memukul kepala wanita itu menggunakan sudip besi menyebabkan kepala mangsa luka dan berdarah.
Ashraf Rezal memerintahkan dia menjalani hukuman penjara itu bermula daripada tarikh ditangkap pada 20 Ogos lepas.
“Saya hanya menjalankan tugas, dan tugas kamu adalah memohon maaf kepada ibu kamu atas perbuatan yang telah kamu lakukan,” kata Ashraf Rezal selepas menjatuhkan hukuman terhadap Hazlina.
Hazlina didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Jalan Ipoh di sini, kira-kira 9.30 pagi, 20 Ogos lepas.
Dia yang mempunyai anak berusia 16 dan 17 tahun didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, mangsa yang hendak minum air di dapur, telah dimarahi anaknya yang sedang memasak.
Tertuduh kemudian menghalau ibunya ke luar dari dapur, tetapi apabila mangsa enggan, anaknya memukul kepala ibunya dengan sudip besi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon hukuman setimpal supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh kerana khuatir tertuduh akan bertindak lebih agresif terhadap mangsa memandangkan dia tinggal bersama ibunya.
Di mahkamah sama, seorang pelajar didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah mencuri telefon bimbit milik seorang lelaki Ho Whye Ken, 22, di Kedai Game Amusement Square, Berjaya Times Square, Jalan Imbi, Dang Wangi di sini, kira-kira 4.55 petang, 19 Ogos.
Mohd Johan Arif Nasir, 19, didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjarakan tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Sementara itu, tiga rakan, Muhammad Shahrumizal Faizul, 19, Shahfizul Mhd Amuni, 22, dan Muhammad Haziq Mahmud, 26, masing-masing didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah dengan sengaja menghapuskan harta curi (telefon itu) milik Ho, di sebuah kedai di Plaza Low Yat, Jalan Bukit Bintang di sini, pada hari dan waktu yang sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah memerintahkan mereka dipenjarakan dua bulan jika gagal membayar denda tersebut. – BERNAMA
Video sampingan (bukan kes di atas)