Dominic Hyams dilahirkan dengan penyakit tulang dan keadaan ini menyebabkan dia terpaksa menggunakan kerusi roda khas untuk bergerak ke tempat kerja di tengah kota London setiap hari.
Namun dunianya menjadi tunggang terbalik apabila pada suatu hari kerusi rodanya telah dicuri ketika Hyams kebetuan berada di rumah rakannya.
“Saya bermalam di rumah rakan saya di Stoke Newington. Dia terpaksa mendukung saya ke bawah ketika saya hendak ke tempat kerja. Sungguh tidak dapat dipercayai apabila kerusi roda itu hilang.
“Kerusi roda tersebut adalah kaki saya dan saya menggunakannya setiap hari. Ia merupakan sebahagian daripada hidup saya,’’ katanya.
Polis kemudiannya menjalankan siasatan namun disebabkan tiada saksi, maka kes itu akhirnya terpaksa ditutup.
Hyams juga tidak dapat menuntut insurans kerana kerusi berkenaan diletakkan di luar rumah sekali gus tidak layak mendapat perlindungan.
Lebih malang apabila syarikat yang mengeluarkan kerusi roda bernilai £17,500 (RM106,053) itu tidak lagi mengeluarkan model seumpama itu.
Adik Hyams kemudiannya mencadangkan supaya dia meminta sumbangan derma melalui internet dan dalam masa beberapa hari, laman wen GoFundMe telah berjaya mengumpul sebanyak £26,252, melebihi sasaran £1,000.
Meskipun pembuatan kerusi roda itu akan mengambil masa yang agak lama bagi membolehkan rekaannya memenuhi kehendak semasa Hyams namun nyata internet telah membantunya kembali ke kehidupan normal.