KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya selangkah lagi untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super 2015 selepas mencerahkan peluang dengan melakar kemenangan selesa 4-1 ke atas Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
Kemenangan tersebut membolehkan skuad Harimau Selatan memintas kedudukan Pahang di tangga teratas liga dengan kelebihan dua mata dengan kutipan 46 mata selepas 21 perlawanan.
Pahang pula turun ke tangga kedua liga selepas seri 2-2 dengan Felda United di laman sendiri.
JDT bakal dimahkotakan juara Liga Super 2015 sekiranya mengalahkan Felda United pada aksi terakhir liga di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sabtu ini.
Pahang pula akan menentang Terengganu pada perlawanan akhir musim di laman lawan pada hari yang sama.
Pada aksi di Larkin, JDT meraih jaringan menerusi Luciano Figueroa pada minit ke-44, Mohd Nazrin Nawi (minit ke-47), S. Chanturu (minit ke-66) dan Safiq Rahim pada minit ke-71 manakala Perak memperolehi gol saguhati hasil sentuhan pemain import dari Brazil, Thiago Junior Aquino pada minit ke-60.
Pahang pula mempersiakan peluang beraksi di laman sendiri setelah seri dengan Felda United di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Gol skuad Tok Gajah dihasilkan oleh dua pemain import, Dickson Nwakaeme pada minit ke-48 dan Damian Delano Stewart pada minit ke-78 manakala penyerang import dari Brazil, Thiago Augusto Fernandes menjaringkan gol untuk pasukan pelawat pada minit ke-62 dan selang enam minit kemudian.
Di Stadium Shah Alam, pasukan Selangor mengutip tiga mata selepas mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Kelantan menerusi gol daripada Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-23 selain dua gol oleh Guilherme De Paula pada minit ke-49 dan sepakan penalti pada minit ke-63.
Terdahulu, pasukan tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Muhammad Nazmi Faiz Mansor dilayangkan kad merah oleh pengadil, Suhaizi Shukri pada minit ke-89 kerana dikatakan meludah pemain lawan.
Dalam pada itu, Terengganu memintas kedudukan Felda United di tangga keempat setelah menang tipis 1-0 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM), hasil jaringan penyerang import dari Kanada, Issey Nakajima-Farran pada minit ke-81.
Perlawanan berkenaan turut dicemari dengan 10 layangan kad kuning ke atas kedua-dua pasukan oleh pengadil, Wan Mohd Tarmizi Wan Ibrahim.
Di Stadium Negeri, Kuching, pasukan Sarawak turut mengutip tiga mata penuh selepas mengalahkan wakil kelab dari Singapura, Lions XII 2-1.
Dua jaringan skuad ‘Ngap Sayot’ dihasilkan oleh Nyema Patrick Gerhardt pada minit ke-23 dan Billy Mehmet Osman pada minit ke-39 manakala Muhammad Khairul Amri Mohamad Kamal mengurangkan defisit jaringan untuk pasukan pelawat menerusi sepakan penalti pada minit ke-75.
Sarawak sebelum itu terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Ivan Fatic diperintah keluar padang oleh pengadil selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-84.
Sementara itu, pasukan kelab Sime Darby FC, yang sudah tersingkir ke saingan Liga Perdana musim depan, meraih kemenangan sulung musim ini selepas menundukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0, hasil jaringan tunggal Nemanja Vidakovic pada minit ke-65.
Susulan kekalahan tersebut, ATM mengiringi Sime Darby FC ke saingan Liga Perdana musim 2016.
Aksi Liga Super 2015 bakal melabuhkan tirai dengan perlawanan ke-22 di enam venue berbeza sebelum bermula kempen Piala Malaysia pada bulan depan. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=vCNMD2s7Akk