PUTRAJAYA – Johan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2015 Piala Perdana Menteri (PABM 2015) bagi kategori Antarabangsa, Joshua Parfitt bercadang untuk menyumbangkan sebahagian daripada wang kemenangannya kepada organisasi mesra alam.
Bertepatan dengan tema pidato yang dipilih jejaka dari United Kingdom ini iaitu Pemuliharaan Alam Sekitar, Joshua walau bagaimanapun masih belum membuat sebarang keputusan organisasi mana yang akan disalurkan sumbangannya itu.
Joshua Parfitt Wakil Dari UK Johan PABM 2015
“Saya ingin sumbangkan wang kemenangan kepada organisasi-organisasi mesra alam tapi saya belum tahu tempat yang ingin diberikan sumbangan,” katanya yang ditemui Mynewshub sejurus selepas pertandingan akhir PABM 2015 melabuhkan tirainya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini semalam.
Dengan kejayaannya yang berjaya menewaskan dua pesaing lain iaitu Emma Cecilia Roberts dari Australia yang meraih naib johan dan wakil dari Amerika Syarikat, Wyatt Evan Gordon di tempat ketiga, Joshua berjaya membawa pulang piala pusingan PABM, piala iringan, wang tunai USD$7,000 (RM27,000), hadiah iringan dan sijil penyertaan.
Mengulas mengenai kemenangannya itu, Joshua sama sekali tidak menjangkakannya memandangkan kedua-dua finalis turut sama-sama hebat dalam menyampaikan pidato masing-masing.
“Saya memang tidak jangkakan kemenangan ini, sebab ketiga-tiga pemidato dari kategori ini memang sangat hebat sekali.
“Sebenarnya ini kali pertama saya berpidato, jadi saya cari di Internet macam mana nak menulis pidato dan saya berpidato dengan perkara yang dekat di hati,” katanya yang mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada seorang kenalan Melayu sepanjang pertandingan ini berlangsung.
Menyingkap kembali minatnya untuk belajar bahasa Melayu, pemuda berusia 22 tahun ini berkata, minatnya itu datang ketika dia berumur 12 tahun dan menetap di Belanda.
“Sebenarnya masa tinggal di Belanda saya ada kawan melayu di kelas saya, dia satu-satunya orang Melayu di sekolah dan dialah yang mengajar saya bahasa Melayu.
“Masa itu saya tak percaya 10 tahun akan datang saya akan berdiri di sini (memenangi PABM 2015),” katanya yang akan memulakan pengajian kursus Bahasa Indonesia bulan depan.
Joshua sebelum ini berentap dengan 39 peserta Antarabangsa dari seluruh dunia sebelum terpilih menjadi tiga finalis bersama Emma dan Wyatt.
Pertandingan akhir diadili tujuh juri yang diketuai Pengerusi Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM), Datuk Prof. Dr. Mizan Hitam.
Hadiah kemenangan disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.
Majlis sebelum itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=QjtzxkZTZXw
Oleh:  JULIANA JOHAR
Foto/Video: RIZA RAZAK