LUMUT – Seorang kanak-kanak berumur satu tahun 11 bulan nyaris maut apabila terjatuh dari tingkat empat sebuah pangsapuri kerajaan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 2.35 petang itu, Mohd Saif Miqdad Sabri hanya mengalami kecederaan ringan dan luka-luka di bahagian lengan kiri.
Mangsa dipercayai terjatuh ketika bermain di beranda kediaman ibu bapanya di tingkat empat sebelum tersangkut di ampaian kain di tingkat dua dan kemudiannya terjatuh ke atas rumput di tingkat bawah.
Difahamkan, ketika kejadian ibunya Nur Hasliana Abu Hassan, 33, sedang menonton televisyen di ruang tamu sambil memerhati anaknya itu bermain di beranda.
Bagaimanapun, Nur Hasliana tidak menyedari anak bongsu dari tiga beradik itu memanjat pagar penghadang sebelum terjatuh di tingkat bawah sehingga diberitahu oleh jirannya. – BERNAMA